Páginas

Tuesday 21 November 2017

Kerajaan Negeri Perkenal Dasar Baharu, `1 Jabatan 1 Inovasi' Tahun Depan

Aida Abd Rahman | Tuesday, November 21, 2017

Kumpulan Strikers XVI mengungguli pertandingan KIK sempena Konvensyen Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Terengganu 2017, di Wisma Darul Iman, malam tadi. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim
****
Kerajaan negeri akan memperkenalkan satu dasar baharu,  `1 jabatan 1 inovasi' dalam pentadbiran negeri bagi memastikan agenda inovasi menjadi keutamaan di Terengganu, bermula tahun depan.

Bagi merealisasikan dasar ini, program inovasi akan dijadikan sebagai satu kriteria Sasaran Kerja Tahunan (SKT) bagi ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan.


Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail berkata, sehubungan dengan itu,  bagi memastikan semua jentera pentadbiran negeri mempunyai satu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) pada tahun hadapan, setiap jabatan hendaklah menyediakan satu Pelan Inovasi Jabatan yang perlu dihantar kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) untuk dilaksanakan pemantauan secara berterusan.

“Saya percaya melalui pertandingan ini kumpulan KIK dan agensi akan berpeluang untuk mendapat pengiktirafan dan ganjaran. Ini merupakan `pulling factor' kepada penjawat awam supaya lebih aktif dalam KIK kerana ia satu mekanisma penting bagi warga perkhidmatan awam untuk menganalisis dan mengenal pasti kaedah penyelesaian yang kraetif dan inovatif. Ini terbukti dengan pelbagai contoh kejayaan projek KIK yang terdahulu,”katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Terengganu Bagi Tahun 2017, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' A Rahman Yahya dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin.

Wan Nawawi berkata,  kepimpinan negeri  sudah dan sedang melakukan yang terbaik dalam usaha untuk membawa Terengganu ke satu tahap yang lebih baik dari
sebelumnya seperti memperkenalkan inisiatif baru seperti Agenda Transformasi Terengganu Baharu, penubuhan Majlis Ekonomi Negeri Terengganu (MEN-T), penubuhan Unit Transfromasi Ekonomi NegeriTerengganu (U-TENT) dan yang terbaru rasionalisasi GLC di bawah Kumpulan Terengganu Inc.

Menurutnya, semua inisiatif berkenaan `new game changer’ dalam memberi suntikan dan nafas baru ke arah Terengganu yang lebih berdaya saing, sekali gus sebagai contoh atau benchmark untuk membuktikan kerajaan juga memerlukan inovasi untuk berubah.

Beliau berkata, inovasi pada hari ini melalui pelbagai penambahbaikan dan pemantapan sehingga menjadi penanda aras baharu globalisasi yang pasti menuntut kepada keupayaan penciptaan bukan sahaja bersifat baharu dan dinamik, malah berfungsi sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta negara.

“Bagi mencapai hasrat ini, kerajaan telah menggariskan modul penjanaan kekayaan melalui inovasi sebagai salah satu daripada enam teras strategi Rancangan  Malaysia Ke-11. Penekanan ini akan meningkatkan ekosistem inovasi nasional yang membolehkan Malaysia memasarkan produk dan perkhidmatan yang kreatif serta berkongsi sumber secara optimum melalui konsep Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS).

“ Lantaran itu, Pentadbiran negeri melihat bahawa pelaksanaan KIK adalah amat kritikal untuk ditambah baik bagimemanfaatkan sepenuhnya pengembangan produk-produk KIK ke tahap pengkomersialan, replikasi dan penyertaan ke pertandingan inovasi bertaraf antarabangsa. Bukan sahaja ia dapat menambah kemahiran penjawat awam, malah ia pastinya dapat tingkatkan produktiviti serta keberhasilan kerja sektor awam.

Dalam konvensyen dua hari itu, sebanyak 24 kumpulan terdiri daripada jabatan kerajaan negeri dan persekutuan seluruh Terengganu membentangkan ciptaan serta mengetengahkan idea mencakupi pelbagai bidang serta perkhidmatan masing-masing.

Kumpulan Ogeh dari Pejabat Tanah Marang memenangi Anugerah Pegawai Kewangan Negeri sempena Persada Inovasi Peringkat Negeri Terengganu 2017.
*****
Kumpulan Strikers XVI dari Politeknik Kota Kuala Terengganu (PKT) muncul juara bagi Anugerah a Setiausaha Kerajaan Negeri  dengan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM7,000, piala iringan dan juga piala pusingan menerusi ciptaan bahan inovasi  `ME2 BOARD’ .

Ciptaan unik bagi kemudahan pensyarah dan pelajar menjalankan amali kursus `Embedded System Application' di PKT hasil sesi percambahan minda dan idea  kreatif  menggunakan kaedah  Design Thinking dan NBOS bagi mengenalpasti sasaran projek dan mengaplikasikan teknik  kawalan  kualiti  seperti Rajah  Matriks  Berkriteria,  `Force Ranking',  Analisa  Data dan  Analisa Keupayaan Penyelesaian Masalah.

Sementara Anugerah Pegawai Kewangan Negeri yang menyediakan hadiah RM5,000 pula menjadi milik kumpulan Ogeh dari Pejabat Tanah Marang. Kumpulan itu turut memenangi kategori persembahan terbaik dan menerima wang tunai RM500.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment