Páginas

Sunday 25 October 2015

Pusat Rawatan Ibu Dan Anak HSNZ Setaraf Hospital Swasta

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 22 OCTOBER 2015

Pusat Rawatan Ibu dan Bayi (PRIBA) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.
*****
Pusat Rawatan Ibu dan Bayi (PRIBA) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menawarkan perkhidmatan yang selesa dengan kemudahan perubatan serba lengkap, setaraf hospital swasta yang terdapat di negara ini.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, kemudahan kesihatan terbaharu itu merupakan perkhidmatan terbaik disediakan kerajaan secara percuma untuk rakyat khususnya golongan berpendapatan sederhana dan miskin bagi mendapatkan rawatan yang selesa dan sempurna.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Rawatan Ibu dan Bayi (PRIBA) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof.

PRIBA yang dibina sejak 2008 menelan perbelanjaan sebanyak RM115 juta mempunyai 324 katil pesakit dan 24 bilik bersalin yang berasingan, selain dilengkapi kemudahan rawatan yang serba canggih dan setaraf  dengan hospital swasta.

Beliau berkata, rakyat seharusnya menghargai dasar kerajaan yang sentiasa berusaha menyediakan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan kos paling rendah.

“Setiap tahun, kerajaan membelanjakan RM23 bilion untuk menjaga pelbagai aspek kesihatan penduduk Malaysia secara keseluruhannya.

“Diharap kemudahan ini dapat memberi manfaat yang baik kepada rakyat terutama dalam aspek kesihatan ibu dan bayi serta penyakit berkaitan kewanitaan,” katanya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment