Páginas

Sunday 13 September 2015

S.M.Noor Dianugerah Sasterawan Negeri Terengganu

AUTHOR: NORAINI JUSOH 13 SEPTEMBER 2015

 Penerima hadiah tokoh sastera (Sasterawan Negeri Terengganu) S.M.Noor (kiri) bersama Nazri Hussein penerima hadiah cekal sastera (Sasterawan Harapan Negeri) selepas Majlis HASDI II, di Hotel Primula malam tadi. Foto oleh: Tg Syamim Tg Ismail
*****
Bekas Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Syed Mohammad Nor Tuan Long atau nama penanya S.M.Noor malam tadi menerima hadiah tokoh sastera yang membawa gelaran Sasterawan Negeri Terengganu.


Beliau menerima wang tunai RM5,000, plak serta sijil penghargaan yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib sempena Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI) II di Hotel Primula, Kuala Terengganu.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Mohd. Iskandar Jaafar, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato’ Dr Awang Sariyan dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin.

Program anjuran bersama kerajaan negeri melalui Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur itu dinilai berasaskan karya yang dihasil atau diterbitkan pada tahun 2013/2014 dan telah dihantar kepada pihak penganjur.

HASDI merupakan hadiah sastera yang diadakan secara dwi tahunan sebagai satu bentuk penghargaan dan pengiktrafan terhadap sasterawan negeri ini yang berterusan menghasilkan karya bermutu melalui pelbagai medium bercetak.unnamed (18)

S.M.Noor berkata, beliau tidak pernah termimpi untuk mendapat pengiktirafan dalam bidang yang diceburinya sejak seabad lalu.

“Saya menulis sejak dibangku sekolah sekitar tahun 1965. Bersyukur kepada Allah kerana memberi saya bakat serta kekuatan dalam usaha memartabatkan bidang sastera. Anugerah ini memberikan satu kepuasan kepada saya,” ujarnya yang juga Ketua Satu Pelita.

Katanya, mewakili Pelita beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang sentiasa memberi sokongan dan prihatin kepada pengamal sastera di negeri ini.

“HASDI II antara satu usaha kerajaan negeri untuk mengiktiraf usaha kami yang bergelar penulis negeri Terengganu.

“Harapan saya, kerajaan negeri dapat meneruskan HASDI III pada tahun hadapan untuk menilai karya-karya penulis yang diterbitkan  pada tahun 2015/2016,” ujarnya.

Antara karya S.M.Noor dalam bentuk buku ialah Tertuduh (Novel), Tebaran malam (Novel), Angin Pijar (Novel), Sang Sutradara (Kumpulan Skrip Drama TV), Astakona (Siri Drama TV), Alang Perkasa (Drama Pentas, Sulur Bayung (Kumpulan Cerpen) dan Pasir Lintang (Novel).

Beliau pernah memenangi Anugerah Seri Angkasa bagi kategori Skrip Drama TV Terbaik 1985 bagi drama TV ‘Kuat Lajak Dari Laju’.

S.M.Noor juga pernah mendapat pengiktirafan ‘Tokoh Budaya’ oleh kerajaan negeri (1992), ‘Tokoh Budaya’ Dewan Undangan Negeri Kuala Berang (2013) dan Anugerah Khas Presiden Kelab Wartawan Terengganu (Kawat)-ExxonMobil 2013.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment