Páginas

Saturday 23 April 2016

Nina Grace Sudah Terima Kad Peluk Islam


ISTERI Menteri Besar Terengganu, To’ Puan Seri Halina Zakaria menyerahkan kad memeluk Islam kepada Woo Nina Grace atau nama Islamnya, Nur Nina Farisha Woo Binti Abdullah di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, hari ini.


Woo Nina Grace melafazkan dua kalimah syahadahnya dengan disaksikan puluhan ribu orang pada majlis syarahan umum pendakwah tersohor dari India, Dr. Zakir Naik di Padang Astaka, Kemaman kira-kira seminggu lalu. Bermula dari detik tersebut, maka bermulalah episod baru buat dirinya melalui kehidupan baru sebagai seorang muslim.

Gadis berusia 19 tahun yang kini mahu dikenali dengan nama Nur Nina Farisha Woo memberitahu, dia begitu teruja untuk menunaikan ibadah puasa tidak lama lagi.

Menurut Nur Nina, sebagai seorang saudara baru, dia merasakan dirinya begitu hampir dengan amalan berpuasa dan Ramadan pertama yang bakal menjelang ini diharap dapat mempertingkatkan lagi keimanannya kepada Allah S.W.T.

Dia yang sebelum ini pernah mencuba untuk berpuasa walaupun belum bergelar Muslim berkata, dirinya begitu teruja ingin merasakan kemanisan sebenar ibadah berpuasa selepas mengucapkan kalimah syahadah.

“Saya mula mengkaji tentang Islam ketika berusia 13 tahun dan mula menghafal surah Al Fatihah, ayat Kursi dan tiga surah Qul ketika di tingkatan 3 lagi,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Penyerahan Kad Memeluk Islam kepadanya di kediaman Seri Iman, hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Omar Musa dan Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria.

Katanya, bagi mendalami agama Islam, beliau telah mula mengikuti kelas pengajian al-Quran bagi membolehkannya menunaikan ibadat yang dituntut selain belajar untuk melengkapkan diri menjadi seorang muslimah yang baik.

Sebelum ini, program ‘Zakir Naik Terengganu Tour’ melabuhkan tirai di Padang Astaka Kemaman dengan penuh kejutan apabila seorang pelajar Kristian memeluk Islam dihadapan lebih 40,000 hadirin.

Nur Nina yang juga penuntut semester tiga Diploma Kejuruteraan Mekanikal Pelantar Minyak Kolej RANACO Kemaman berkata, dia nekad mengucap dua kalimah syahadah selepas berpuas hati dengan jawapan Dr. Zakir pada sesi soal jawab semasa syarahan umum pendakwah itu.

No comments:

Post a Comment