Páginas

Monday, 5 October 2015

Pondok Moden Desa Taqwa Beroperasi Tahun Depan

AUTHOR: SURIATI ALI 4 OCTOBER 2015

 Pondok Moden Desa Taqwa Beroperasi Tahun Depan. Foto Harish Fadzillah
*****
Pondok moden khas untuk warga emas iaitu Kompleks Desa Taqwa yang terletak di Kuala Telemong bakal beroperasi Januari tahun depan.


Kompleks yang dibina dengan kos RM10.9 juta itu milik Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Terengganu.


Institusi tersebut akan menyediakan modul dan silibus pendidikan agama khas untuk golongan dewasa khususnya pesara-pesara guru selaras dengan konsep ‘pendidikan sepanjang hayat’.

Timbalan Yang Dipertua persatuan itu, Dato’ Mohamed Che Hamid berkata, jalan masuk ke kompleks itu dari susur keluar Lebuh Raya Pantai Timur di Kuala Telemong serta sebuah surau dalam proses untuk pembinaan.

“Bagi pembinaan surau, kos diperlukan kira-kira RM500 ribu. Setakat ini kita telah menerima sumbangan lebih kurang RM350 ribu daripada banyak pihak termasuk MAIDAM.

“Kita yakin pusat ini mampu menarik minat orang ramai kerana prasarana kita berada di tahap yang baik. Kita ada 69 bilik penginapan bertaraf hotel, bilik kuliah, dewan dan bilik mesyuarat,” katanya.

Beliau berkata pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri Terengganu Kepada Pengurusan Desa Taqwa yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman di kompleks itu, petang semalam.

Pada majlis itu, Ahmad Razif menyerahkan geran tahunan berjumlah RM200,000 kepada kompleks berkenaan. Pada majlis sama, Menteri Besar turut mengumumkan bantuan tambahan bagi menyiapkan surau kompleks tersebut.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment