Páginas

Tuesday 25 September 2018

ADUN UMNO Terengganu pula sasaran PH

Oleh Mohammad Ishak | cnews@nstp.com.my

Dato' Mohammad Pehimi Yusof
*****
JERTIH: Selepas Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), kini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pula didakwa menjadi sasaran pihak tertentu yang memberi tawaran dan memujuk supaya menyertai parti pemerintah Pakatan Harapan (PH).

Bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof, berkata ramai rakan ADUN dari negeri ini termasuk beliau didatangi pihak tertentu yang memujuk mereka supaya meninggalkan UMNO dan menyertai PH.


Bagaimanapun, katanya, cubaan pihak terbabit setakat ini gagal memujuk dua ahli Parlimen BN dari Terengganu iaitu Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, menyertai PH.

“Kedua-dua pemimpin ini antara yang didatangi PH supaya mereka menyertai parti itu, tetapi mereka menyatakan akan tetap kekal dalam UMNO walau apa yang terjadi,” katanya kepada NSTP.

Beliau berkata, semalam, Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohamad yang juga ADUN Hulu Besut antara yang turut disenarai kononnya akan menyertai PH.

Muhamad Pehimi yang juga ADUN Jertih berkata, walaupun didatangi pihak tertentu memintanya meninggalkan UMNO, beliau menolak pelawaan itu dan berjanji terus kekal dalam parti keramat UMNO.

“Saya ada maruah diri dan akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat UMNO walaupun negara dikuasai PH atau PAS,” katanya.

Beliau mendakwa, ada pemimpin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) melancarkan gerakan memujuk ADUN UMNO negeri ini supaya meninggalkan parti dan menyertai mereka.

“Tetapi semua ADUN negeri ini tidak ada sebarang masalah dengan parti mahupun mempunyai rekod buruk sebagai alasan untuk meninggalkan parti. Tiada siapa boleh mengugut dan menekan kami untuk keluar UMNO.

“Malah, ahli di peringkat akar umbi juga masih teguh menyokong kepemimpinan UMNO di peringkat bahagian, negeri dan Pusat kerana yakin pemimpin yang ada sekarang akan terus membela nasib mereka,” katanya.

- BH/MediaJertih

No comments:

Post a Comment