Páginas

Thursday 5 April 2012

MPKSM/CDB TERUS MENABUR BAKTI.





Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia Cawangan Daerah Besut, (MPKSM/CDB) telah mengadakan Mesyuarat Agungnya yang ke-36 pada 30 Mac yang lalu bertempat di Dewan Warga Emas Pusat Jagaan Warga Emas Kampung Raja. Mesyuarat Agung kali ke-36 ini dirasmikan oleh YB Haji Muhammad Pehimi Yusof, ADUN Kota Putera. Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Besut, Puan Dalila Nasir.
Sejarah penubuhan MPKSM/CDB bermula pada tahun 1966, dengan usaha yang dilaksanakan oleh seorang aktivis masyarakat dan tokoh politik iaitu Dato Haji Wan Ishak Bin Ali, tetapi penubuhan MPSKM/CDB disahkan penubuhannya pada 19 Febuari 1968. Penubuhan Majlis ini mendapat sambutan dari masyarakat di daerah Besut kerana tujuan penubuhannya untuk kebajikan masyarakat khususnya membantu anak-anak dari keluarga miskin dan kurang berkemampuan dalam pelajaran. Majlis ini merupakan sebuah badan NGO yang sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan kebajikan masyarakat kepada golongan yang memerlukan pertolongan, tetapi penekanannya lebih kepada membantu pelajar-pelajar daripada keluarga miskin untuk berjaya didalam pelajaran. Antara gerak kerja yang telah dilaksanakan adalah termasuk pengagihan skim pinjaman buku teks, pakaian sekolah, yuran sekolah dan menyediakan beberapa buah rumah untuk orzng-orang tua miskin serta banyak lagi. MPSKM/CDB juga merupakan satu badan yang menyediakan peluang kedua kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan SPM dan STPM yang kurang memuaskan untuk memperbaiki keputusan mereka dengan mengulang dan mengambil sekali lagi peperiksaan berkenaan untuk melayakan mereka menyambung pembelajaran di universiti dengan secara percuma, dan program seumpama ini hanya di laksanakan di daerah Besut sahaja.

Majlis ini juga turut mengendalikan Pusat Jagaan Harian Warga Emas yang terletak di PT 3426 Jalan Tembila, Kampung Raja, bersebelahan dengan Musalla Nur Aisyah dan berhadapan dengan MRSM Besut. Pusat ini memulakan operasinya pada 01 April 2003, dengan objektif penubuhannya untuk meningkatkan kehormatan dan martabat warga emas dalam keluarga, masyrakat dan negara, memajukan potensi warga emas agar mereka terus aktif dan produktif dalam pembangunan negara serta mewujudkan peluang untuk membantu mereka terus hidup berdikari. Keahlian dibuka kepada semua warga emas yang berumur 60 tahun keatas dan sihat tubuh badan. Permohonan hanya memerlukan pemohon mengisi borang dan menyediakan 2 keping gambar berukuran pasport tanpa dikenakan sebarang bayaran. Sepanjang operasinya bermula dari tahun 2003, pelbagai aktiviti telah dijalankan antaranya aktiviti mingguan yang melibatkan kelas Iqra', kelas Al-Quran, kelas Hafiah, pengkisahan dan penulisan serta aktiviti senamrobik pada hujung minggu. Disamping itu,pusat ini juga mempunyai pelbagai kemudahan seperti ruang kelas dan bacaan, alatan senaman, dewan serbaguna, dewan makan, bilik rehat, televisyen dan bahan-bahan bacaan serta tenaga pengajar yang berpengalaman.

Di dalam ucapan perasmian mesyuarat tersebut, YB Muhammad Pehimi Yusof mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada pihak MPKSM/CDB yang telah banyak menabur bakti kepada masyarakat Dun Kota Putera selama ini. Walaupun MPKSM/CDB adalah satu badan NGO dan melaksanakan program secara sukarela, mereka telah banyak berusaha dan berkorban demi merealisasikan matlamat dan objektif penubuhan MPKSM/CDB tersebut. Jasa dan pengorbanan mereka sangat besar, ujar YB Pehimi semasa ucapannya.

Published By Putera

No comments:

Post a Comment