Páginas

Thursday, 2 May 2013

Lynas berkembang maju


Lynas: Permintaan bagi nadir bumi di jangka meningkat

19 April 2013
MELBOURNE - Lynas Corporation Ltd menjangka permintaan bagi produk nadir buminya akan meningkat dalam jangka sederhana selepas memulakan pengeluaran produk nadir bumi berasingan pertamanya di Kuantan dalam suku tahun Mac.
  
Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Malaysia itu kini telah menghasilkan rangkaian penuh produk nadir bumi dan sedang menggiatkan usaha ke arah pencapaian kapasiti 11,000 tan metrik setahun menjelang akhir suku kedua 2013, kata Lynas dalam satu kenyataan.
  
Bulan lepas, Mahkamah Persekutuan Malaysia menyokong keputusan mahkamah rendah sebelumnya, yang menolak bantahan oleh pencinta alam sekitar terhadap pembinaan kilang penapisan nadir bumi syarikat itu di Kuantan.
  
Dalam laporan suku pertamanya, Lynas menegaskan lagi panduan pengeluarannya.

Syarikat itu berkata harga jatuh 13 peratus berbanding suku sebelumnya, dengan mencapai harga purata Mount Weld pada US$37.22 sekilogram dalam suku pertama.
  
"Lynas mengunjurkan permintaan bagi nadir bumi akan meningkat pada kadar melebihi KDNK dalam jangka sederhana, didorong oleh peningkatan permintaan daripada sektor-sektor utama seperti magnet kekal nadir bumi, autopemangkin dan pemangkin pemecahan bendalir," kata Lynas.
  
Ketiga-tiga pasaran ini dijangka menyumbang kira-kira separuh daripada permintaan nadir bumi dunia menjelang 2015.
  
Menjelang akhir dekad ini, Lynas meramalkan kekurangan bekalan beberapa pasaran unsur nadir bumi seperti Neodimium/Praesodimium dan Lanthanum.
  
Jumlah pekerja di tapak Malaysia itu susut kepada 1,515 orang pada akhir Mac, daripada 2,300 orang pada pertengahan Disember 2012 dengan semakin hampir selesainya projek itu. - Bernama

Pinjaman RM2j untuk industri fesyen



WARTAWAN SINAR HARIAN
30 April 2013
Program Fashion Pitch
Program Fashion Pitch menawarkan bantuan dana RM2 juta.
PENGGIAT industri fesyen boleh menerima pinjaman sehingga RM2 juta yang diperkenalkan melalui MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) bagi mengembangkan lagi industri tersebut di negara ini.

Syarikat pelaburan kerajaan itu menjalin kerjasama dengan  FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) bagi mengumumkan inisiatif itu bagi memberi peluang kepada penggiat fesyen membentangkan idea dan kreativiti mereka untuk menjalankan perniagaan dalam
bidang fesyen.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative, Johan Ishak berkata, program dikenali sebagai Fashion Pitch itu diwujudkan untuk meningkatkan daya tarikan industri fesyen dalam negara.

"Fashion Pitch ini adalah cara untuk menjadikan industri fesyen sebagai antara penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Peserta yang berminat perlu mengemukakan cadangan dan permohonan pada 31 Mei 2013 dan mestilah warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas serta mempunyai minat dalam industri fesyen," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Johan, calon tersenarai akan dipanggil untuk sesi pembentangan pada Jun depan dan peserta yang berjaya layak memohon pinjaman MyCreative sehingga RM2 juta.

MyCreative adalah cabang pelaburan kerajaan untuk merangsang industri kreatif Malaysia melalui pembiayaan strategik dan inovatif dalam bentuk pelaburan ekuiti atau hutang.

Wednesday, 1 May 2013

Rakyat perlu kukuhkan budaya inovasi sains



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 April 2013
Tan Sri  Rafidah Aziz
Tan Sri Rafidah Aziz
KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia perlu mengukuhkan budaya inovasi sains untuk mencapai aspirasi negara menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, inovasi sains, terutamanya dalam ekonomi, perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar.
“Sains meresap menerusi semua peringkat ekonomi dan masyarakat termasuk kesihatan, kesejahteraan, sumber manusia, teknologi, pembuatan dan perkhidmatan awam.
“Sains dalam ekonomi sangat penting bagi Malaysia kerana kita sedang menuju peringkat ketiga pembangunan yang merupakan peringkat yang didorong oleh inovasi dan ia pada asasnya adalah tentang sains,” katanya selepas persidangan “Sains dan Ekonomi:Perubahan Bagi Malaysia” pada Sabtu.
Mengikut Indeks Inovasi Global (GII), ranking Malaysia meningkat satu tangga ke tangga ke-32 daripada 141 negara pada 2012.
Terdahulu dalam ucapan beliau, Rafidah berkata, pemikiran saintifik merupakan satu elemen penting yang perlu diterap oleh tenaga kerja kerana sains boleh menambah nilai kepada ekonomi.

Kejayaan Usahawan Wanita yang menjadi kebangaan negara


Hyrax Oil buka loji pengadunan di Mozambique
WARTAWAN SINAR HARIAN
27 April 2013
Hyrax Oil buka loji pengadunan di Mozambique
Hazimah bersama Ketua Pegawai Eksekuitf Petromoc Nuno De Oliveira selepas menandatangani memorandum persefahaman bagi membina loji pengadunan di Mozambique, di Kuala Lumpur.
PENGELUAR minyak pelincir, Hyrax Oil Sdn Bhd akan membina loji pengadunan pertama di luar negara dengan jumlah pelaburan purata AS$10 juta (RM30.4 juta) menerusi kerjasama bersama syarikat minyak Petroleos De Mocambique S.A (Petromoc), dari Mozambique.

Pengarah Urusannya, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, selain loji pengadunan yang terletak di tanah berkeluasan dua hektar itu, tempat penyimpanan di Pelabuhan Matola juga akan dibina dan kedua-dua kemudahan dijangka siap serta beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

"Loji pengadunan itu kelak mampu menghasil dan memasarkan rangkaian produk minyak pelincir termasuk automotif, industri, marin dan pelincir khas.

"Malah, ia juga dijangka mampu mengeluarkan lebih dua juta liter produk siap sebulan dengan keupayaan untuk terus meningkat pada masa akan datang," katanya selepas menandatangani memorandum persefaha-man di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, menerusi kerjasama itu, syarikat baru Petromoc-Hyrax Oli Internati-onal Ltd akan didaftarkan di Mozambique.

Katanya, syarikat juga akan menguasai 14 pasaran di bawah Komuniti Pembangunan Selatan Afrika (SADC) yang meliputi Angola, Botswanam Republik Demokratik Kongo, Lesotho, Malawi, Mauritius, Namibia, Swaziland, Tanzania, Zambia, Zimbabwe, Afrika Selatan, Seychelles termasuk Mozambique.

Hazimah berkata, syarikatnya turut menyasarkan perolehan lapan hingga 11 peratus sepanjang tahun ini dan berhasrat meningkatkan pendapatan melebihi 10 peratus pada 2014, didorong pembukaan kilang tersebut.

Mengulas berhubung perolehan bagi pasaran eksport syarikatnya, Hazimah berkata, Petromoc kini menyumbang sekitar lima hingga 10 peratus.

"Kami menyasarkan peningkatan perolehan 20 hingga 30 peratus menjelang 2014  menerusi kerjasama di antara kedua-dua negara ini," katanya.

Sumber air Terengganu, cukup untuk tempoh 30 tahun


Sumber air Terengganu, cukup untuk tempoh 30 tahun

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Terengganu mempunyai sumber air mentah yang mencukupi berdasarkan unjuran keperluan permintaan untuk tempoh 30 tahun akan datang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sungai-sungai di Terengganu, terutama Tasik Kenyir, Hulu Terengganu masih terpelihara daripada sebarang pencemaran industri dan pertanian.
Katanya, keadaan ini menjadikan kualiti air terawat di Terengganu adalah antara yang terbaik berbanding negeri lain.
“Bagaimanapun, pihaknya sedar usaha-usaha pemuliharaan sungai-sungai serta kawasan tadahan ini perlu terus dilaksanakan bagi mengelak pencemaran sumber -sumber air ini.
“Berlakunya pencemaran air bermakna peningkatan kos rawatan, secara tidak langsung akan membebankan operasi operator industri air dan akhirnya pengguna terpaksa membayar kos yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bekalan Air Negara , Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Haji Za’abar Mohd Adib; CEO SPAN Dato’ Teo Yen Hua dan CEO Satu Haji Hussain Embong.
Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu kerajaan negeri berpuashati terhadap perkhidmatan yang diberikan Satu di Terengganu.
“Pada masa sama sedar dan faham kekangan-kekangan yang dihadapi pihak itu dan semua operator bekalan air bahawa loji-loji rawatan air menggunakan tenaga elektrik daripada TNB sebagai punca penjanaan kuasanya.
“Peningkatan tarif elektrik akan menyebabkan peningkatan kos pengeluaran air terawat yang amat signifikan,” katanya
Menurutnya, operator bekalan air seboleh-bolehnya tidak mahu membuat semakan tarif air tetapi peningkatan kos rawatan air yang terlalu tinggi menyukarkan operator memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna.
“Dalam konteks Terengganu, peningkatan tarif elektrik pada Jun 2011 telah menyebabkan peningkatan kos pengeluaran air sebanyak RM 2 juta berbanding tahun sebelumnya.
“Operator bekalan air juga mengalami peningkatan kos yang ketara dalam penyelenggaraan loji dan paip-paip air. “Kos-kos ini terpaksa ditanggung oleh operator bagi memastikan keupayaan sistem agihan dan pembekalan air berada pada tahap yang maksimum,” katanya

terengganu.gov.my

Usahawan Pertanian Berjaya


Jaminan jadi usahawan


Latihan amalan pertanian yang memenuhi piawaian dan kehendak pasaran.
PENGALAMAN lebih 17 tahun dalam latihan kemahiran terutama sektor pertanian telah memberikan inspirasi kepada Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (iGROW), Nordin Abdul Malek untuk menjayakan misi melahirkan usahawan tani generasi baru.
Kejayaan beliau melahirkan ramai usahawan tani muda di seluruh negara telah diperakui juga oleh banyak pihak sebagai satu anjakan berganda (quantum leaps).
Kini fokus beliau bukan sahaja mahu melahirkan usahawan baru tetapi pelan melonjakkan pencapaian usahawan tani muda kepada usahawan berpendapatan tinggi dan seterusnya bergelar jutawan.
Oleh itu, beliau telah menubuhkan sebuah pusat latihan pertanian yang dikenali sebagai iGROW.
Modul latihan dan amali iGROW berteraskan keusahawanan sepenuhnya bagi memastikan semua graduan yang dilahirkan bukan hanya berkebolehan dalam bidang teknikal pertanian tetapi juga akan benar-benar bersedia untuk terus menjadi usahawan sebaik sahaja tamat latihan.
"Sudah tiba masanya, kita memberikan perhatian serius kepada usaha memastikan semua graduan pertanian menjadi usahawan dengan mengusahakan pertanian secara komersial dan berskala besar, " katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Penasihat Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) berkata, walaupun pelbagai inisiatif dan insentif disediakan kerajaan tetapi hasilan masih belum begitu membanggakan.
"Ini kerana bilangan usahawan di kalangan graduan pertanian masih rendah, apatah lagi untuk dibanggakan sebagai pengeluar bersaiz besar,'' ujarnya.
Namun, beliau berbangga kerana berjaya menghasilkan ramai usahawan tani muda di kalangan graduan beliau di salah satu pusat latihan pertanian swasta sebelum ini.
Kejayaan terbaru beliau yang terbukti hebat ialah menjayakan program MyAgrosis.
Ini kerana dana MyAgrosis di Agrobank kebanyakannya dimanfaatkan graduan institut milik beliau sebagai kumpulan peminjam tertinggi di negara ini berbanding institusi lain termasuk pusat latihan pertanian awam sendiri.
Selain itu, konsep latihan iGROW juga bersifat pembangunan pertanian di kampung dan desa iaitu dengan cara memanfaatkan ruang dan potensi pertanian di kampung-kampung.
Walaupun begitu, pendekatan dan amalan pertanian adalah berteraskan ilmu, kemahiran, teknologi serta inovasi baru dan segar.
"Konsep ladang iGROW sendiri menggabungkan pelbagai sumber pertanian cara baru di dalam satu kawasan iaitu dusun buah-buahan, tanaman sayur-sayuran, akuakultur, ladang kelapa sawit, ternakan ruminan dan pelancongan inap ladang (moden dan klasik)", ujar Nordin lagi.
Berbeza dengan pusat latihan biasa yang selalunya menempatkan keseluruhan kompleks (kediaman dan ladang) dalam satu kawasan, Nordin pula membahagikan iGROW kepada kawasan kediaman pelatih, tapak amali dan ladang projek berskala besar secara berasingan di sekitar Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak.
"Kami juga ingin memastikan proses latihan dan keusahawanan ini, akan memberikan impak serta limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat terutama dalam memajukan tanah terbiar di kampung-kampung," tegas Nordin.
Kehadiran iGROW memberi nilai tambah kepada pembangunan Mukim Pulau Tiga yang telah diumumkan sebagai perintis program My Kampung My Future oleh kerajaan pada hujung tahun lalu.
Malah, keserasiannya dengan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, membolehkan beliau mendapat kerjasama pelbagai agensi berkaitan terutama Agrobank.
Pakej latihan bersepadu ini sangat penting sebagai persediaan untuk memastikan keberhasilan yang tinggi dalam usaha beliau melahirkan usahawan tani di kalangan semua graduan beliau.
Sungguhpun iGROW berkonsepkan 'Kolej Latihan Dalam Kampung', Nordin yakin pengalaman dan kejayaan beliau selama ini melahirkan golongan muda sebagai usahawan barisan hadapan pertanian, membolehkan beliau menggunakan resipi baru untuk melahirkan usahawan tani generasi baru bertaraf dunia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130415/ag_02/Jaminan-jadi-usahawan#ixzz2S0vsw06Y
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pengurus jadi penternak lembu berjaya


Oleh RASHIDAH ABD RAHIM

Pekerja Agro Dairy Farm memindahkan susu segar yang dihasilkan lembu susu di ladang tersebut ke dalam tong untuk dihantar ke Pusat Pengumpulan Susu (PPS).
TIGA tahun lepas, M. Jaganatham, bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat perkapalan bertaraf antarabangsa.
Bagaimanapun, atas minat yang mendalam terhadap sektor pertanian dan industri asas tani, Jaganatham, 45, mengambil keputusan meletak jawatan untuk mengusahakan ladang ternakan tenusu.
Juga atas dorongan dan galakan daripada isterinya, M. Letchumi, 40, Jaganatham membulatkan nekad dengan melabur RM1.0 juta sebagai modal permulaan membuka ladang ternakan seluas enam hektar dikenali Agro Dairyfarm Sdn Bhd di Kampung Baru Vinayagar, Gadek, Alor Gajah, Melaka.
Cabaran
Jaganatham, yang berasal dari Teluk Intan, Perak, berkata, sebanyak 50 ekor lembu jenis Friesian Thailand dibeli sebagai titik permulaan kepada perniagaan ternakan tenusu tersebut.
Pada peringkat awal, katanya, pelbagai masalah terpaksa ditempuh khususnya berkaitan pengurusan ladang, penjagaan lembu dan pengeluaran susu.
“Malah kami pernah mengalami kerugian akibat kematian lembu disebabkan jangkitan penyakit," katanya yang berkecimpung selama lebih 20 tahun dalam industri perkapalan.
Beliau berkata, cabaran terbesar yang dihadapi adalah untuk memastikan pengeluaran susu mencapai tahap maksimum.
Seekor lembu tenusu miliknya hanya mampu menghasilkan lapan hingga sembilan liter susu sehari berbanding pengeluaran maksimum susu iaitu sekurang-kurangnya 15 liter bagi seekor lembu sehari.
Bagaimanapun ini bergantung kepada faktor seperti cuaca dan nutrisi makanan yang mencukupi untuk lembu, jelas Jaganatham.
“Kita tidak boleh mengawal cuaca tetapi apa yang lebih penting ialah memastikan lembu yang diternak mendapat rumput yang cukup, ini kerana pengeluaran susu bergantung kepada pemakanan.
“Sekiranya lembu mendapat rumput yang mencukupi, ia akan membantu menghasilkan jumlah susu yang banyak," katanya dan menambah bahawa lembu tenusu memerlukan rumput segar dalam kuantiti yang banyak iaitu 10 peratus daripada berat badannya.
Contohnya, bagi lembu yang beratnya 400 kilogram memerlukan kira-kira 40 kg atau dua guni rumput untuk dimakan.
Bagi mengatasi masalah itu, pihaknya kini menanam rumput di sekitar kawasan ladang. Dengan cara itu ternakannya sentiasa mendapat bekalan rumput mencukupi berbanding kaedah sebelum ini iaitu terpaksa keluar dari kawasan ladang untuk mencari dan memotong rumput untuk diberi kepada ternakannya .
Selain itu, Jagannatham berkata, kualiti susu turut menjadi faktor utama dalam memastikan pendapatan bulanan perniagaan tenusunya tidak terjejas.
Beliau berkata ternakan lembu juga terdedah kepada penyakit terutama Mastitis, yang dijangkiti kuman akibat pemerahan yang tidak betul dan tidak bersih.
Bagaimanapun, berkat kesabaran dan usaha keras terutama dalam mendalami ilmu penternakan lembu tenusu dan pengurusan ladang daripada pelbagai pihak, beliau dan isteri boleh menarik nafas lega dengan kejayaan yang dinikmati sekarang.
Jaganatham berkata, ladangnya kini semakin berkembang sehingga meliputi kawasan seluas 11 hektar dengan 121 ekor lembu tenusu melibatkan keseluruhan aset semasa pada tahun lepas berjumlah RM1.5 juta berbanding RM1.3 juta pada 2010.
Beliau berkata pengeluaran susu ternakannya juga telah meningkat walaupun belum mencapai tahap pengeluaran maksimum.
“Kita belum mencapai tahap pengeluaran maksimum susu lembu. sekarang ini seekor lembu di sini mampu menghasilkan susu kira-kira 12.7 liter berbanding tempoh tiga tahun lepas," katanya yang juga pensyarah di Akademi Laut Malaysia (ALAM) Masjid Tanah di sini.
Susu yang dihasilkan daripada ladangnya kini berjumlah antara 550 hingga 570 liter sebulan. Susu berkenaan dibekalkan kepada Dutch Lady Malaysia pada harga antara RM2.20 dan RM2.30 seliter.
Beliau berkata pendapatan bulanannya juga dijangka meningkat dengan penerimaan peti simpanan sejuk susu berkapasiti 310 liter daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Dengan adanya peti simpanan sejuk itu, susu yang dihasilkan dapat disimpan dengan lebih baik dan penghantaran susu ke Pusat Pengumpulan Susu (PPS) yang terletak di Pengkalan, Alor Gajah dapat diminimumkan.
“Tanpa peti tersebut susu yang dihasilkan perlu dihantar ke pusat pengumpulan dua kali setiap hari iaitu pagi dan petang namun kaedah penyimpanan susu melalui peti penyejuk dapat menjimatkan kos penghantaran," katanya.
Bantuan peti simpanan sejuk susu yang dinikmati Jagannatham adalah sejajar objektif ETP dalam pembangunan kluster susu bagi meningkatkan pengeluaran dan kualiti susu negara. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130422/ag_03/Pengurus-jadi-penternak-Lembu#ixzz2S0vTN8Yv
© Utusan Melayu (M) Bhd