Páginas

Sunday 10 May 2015

Bandar Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus, Bandar Moden Dalam Taman

AUTHOR: FAUZI MOHD | 9 MAY 2015

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengisytiharkan bandar baharu Daerah Kuala Nerus sebagai Bandar Al-Wathiqu Billah.
*****
Pengisytiharan itu dibuat pada Majlis Peletakan Batu Asas Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus di Kampung Baruh Tok Jiring, hari ini.

Berangkat sama ke majlis itu, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.


Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Yang Dipertua DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Azmi Razik.

Sementara itu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, kewujudan Kuala Nerus sebagai daerah kelapan di Terengganu adalah amat tepat berikutan penduduk Terengganu semakin bertambah.


Pada masa yang sama baginda mahu kerajaan negeri merancang landskap pembangunan serta infrastruktur Kuala Nerus dengan teliti serta mengekalkan ekosistem alam semulajadi.

“Pertambahan penduduk akan meningkatkan bebanan pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri selain tuntutan dan keperluan rakyat semakin berkembang. Ini sudah pasti memerlukan kepada pengurusan dan pentadbiran yang cekap dan berkesan.

“Maka keputusan kerajaan menubuhkan daerah Kuala Nerus adalah amat tepat dan selaras dalam usaha kerajaan negeri beta yang memberi dan meningkatkan tahap perkhidmatan kepada rakyat,” titah baginda.

Seluas 187.76 hektar tanah akan dibangunkan bagi membina pusat pentadbiran daerah Kuala Nerus yang akan berkonsepkan Bandaraya Moden dan Hijau.

Baginda merasa sukacita berikutan penubuhan daerah baharu itu, ia bakal memberi kemudahan kepada 200,000 penduduk yang selama ini berurusan dengan jabatan kerajaan di Kuala Terengganu yang agak jauh dan menyukarkan.

Menurut Sultan Mizan, Kuala Nerus sudah mempunyai komponen pendidikan yang lengkap seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Perguruan Dato’ Razali Ismail, Isntitut Latihan Perindustrian (ILP), Maktab Rendah Sains Mara dan pelbagai pusat latihan.

Kuala Nerus merupakan pintu masuk utama ke Terengganu kerana terdapat Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Telaga Batin dan pintu keluar ke Lebuhraya Pantai Timur II di Gemuroh.

Teganukita

No comments:

Post a Comment