Tan Sri  Rafidah Aziz
Tan Sri Rafidah Aziz
KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia perlu mengukuhkan budaya inovasi sains untuk mencapai aspirasi negara menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, inovasi sains, terutamanya dalam ekonomi, perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar.
“Sains meresap menerusi semua peringkat ekonomi dan masyarakat termasuk kesihatan, kesejahteraan, sumber manusia, teknologi, pembuatan dan perkhidmatan awam.
“Sains dalam ekonomi sangat penting bagi Malaysia kerana kita sedang menuju peringkat ketiga pembangunan yang merupakan peringkat yang didorong oleh inovasi dan ia pada asasnya adalah tentang sains,” katanya selepas persidangan “Sains dan Ekonomi:Perubahan Bagi Malaysia” pada Sabtu.
Mengikut Indeks Inovasi Global (GII), ranking Malaysia meningkat satu tangga ke tangga ke-32 daripada 141 negara pada 2012.
Terdahulu dalam ucapan beliau, Rafidah berkata, pemikiran saintifik merupakan satu elemen penting yang perlu diterap oleh tenaga kerja kerana sains boleh menambah nilai kepada ekonomi.