Páginas

Friday, 3 May 2013

Selepas 123 tahun Belanda mempunyai Raja


Raja pertama Belanda selepas 123 tahun



LELAKI berusia 46 tahun itu merenung ke dalam mata bondanya. Tangan dua beranak itu kemudiannya bertaut dan memaparkan emosi meruntun jiwa. Tandatangan yang diturunkan Ratu Beatrix pada dokumen penurunan takhta itu disaksikan jutaan warga Belanda secara langsung di kaca televisyen.
Selepas 33 tahun menduduki takhta, Beatrix, 75, melepaskan kedudukan tertinggi monarki itu kepada putera sulungnya, Willem-Alexander. Peralihan takhta itu turut mencipta sejarah kepada Belanda yang kembali diterajui seorang raja selepas 123 tahun diperintah dua orang ratu.
"Saya dengan rasa gembira dan penuh syukur memperkenalkan raja baharu anda, Willem-Alexander," ujar Beatrix saat berdiri di balkoni diraja, Istana Diraja yang terletak di Dataran Dam, Amsterdam menghadap lebih 20,000 warga Belanda yang membanjiri pekarangan istana. Beatrix melepaskan takhtanya pada 30 April lalu.
"Hari ini, saya memberi laluan kepada generasi baharu," tambah Beatrix yang kini kembali memegang gelaran Puteri Beatrix.
Sejurus selepas pengumuman rasmi oleh Beatrix, asap berwarna oren memenuhi ruang udara pekarangan istana menandakan keraian menyambut pemasyhuran raja baharu telah bermula.
Beatrix hampir menitiskan air mata tatkala membuat kemunculan di balkoni diraja itu. Beliau turut disertai Willem-Alexander bersama isteri, Permaisuri Maxima Zorreguieta dan tiga anak perempuan mereka yang menyarungkan dres kuning sedondon.
"Bonda, hari ini anda menyerahkan takhta kepada saya. 33 tahun telah berlalu dan ia menjadi tahun-tahun yang penuh inspirasi. Kami amat berterima kasih kepada bonda," ucap Willem-Alexander selepas bondanya meninggalkan balkoni diraja.
Kali terakhir Belanda diperintah seorang raja ialah pada tahun 1890 di bawah teraju Raja William III. Kemudian, negara itu ditadbir di bawah monarki Ratu Wilhelmina (nenda Willem-Alexander) dan Ratu Beatrix.
Puteri sulung Willem-Alexander dan Maxima, Catharina-Amalia, 9, yang turut hadir ketika upacara itu secara rasmi menyandang gelaran Puteri Oren dan menjadi pewaris takhta utama mengikut giliran.
WILLEM-ALEXANDER dan isteri, Maxima Zorreguieta pasangan diraja baharu yang memerintah Belanda.


Willem-Alexander merupakan putera sulung daripada tiga adik-beradik. Adik keduanya, Putera Friso yang tidak lagi layak menduduki takhta Belanda atas keputusannya berkahwin dengan Mabel Wisse Smit pada tahun 2004, masih koma ekoran kemalangan ketika meluncur ski di Austria tahun lalu.
Bersifat terbuka
Adik bongsu Willem-Alexander, Putera Constantijn pula menetap di Brussels dan bekerja untuk Pesuruhjaya Kesatuan Eropah Belanda, Neelie Kroes, yang bertanggungjawab ke atas pengurusan telekomunikasi dan polisi teknologi 27 blok negara Eropah.
Sebagai raja baharu Belanda, Willem-Alexander yang pernah bertugas sebagai pakar pengurusan air dijangka bersifat lebih terbuka terhadap sistem monarki sedia ada.
Pada istiadat pemasyhuran yang berlangsung di De Nieuwe Kerk (New Church), Willem-Alexander dilihat memakai mantel diraja yang sama sejak monarki Belanda, Royal House of Orange-Nassau diasaskan pada tahun 1815.
Sejajar dengan tradisi, beliau tidak memakai mahkota yang hanya diletakkan di sampingnya sepanjang upacara tersebut. Disebabkan ketiadaan gereja persekutuan, tiada paderi yang layak menjalankan upacara kemahkotaan.
"Saya mahu membentuk hubungan dan menjadi contoh kepada penyatuan rakyat di negara ini," ujar raja termuda yang menaiki takhta Belanda itu pada istiadat pemasyhuran yang disiarkan secara rasmi di kaca televisyen.
"Sebagai raja, tugas saya adalah mengukuhkan jalinan kepercayaan antara rakyat dan kerajaan, mengekalkan demokrasi dan berkhidmat untuk rakyat jelata.
Bancian yang disiarkan baru-baru ini oleh sebuah stesen penyiaran negara itu, NOS menunjukkan populariti Willem-Alexander meningkat saat menaiki takhta. Imej relaks dan keyakinan tinggi yang ditunjukkan beliau dalam satu temu bual awal bulan lalu meningkatkan kepercayaan warga Belanda.
Willem-Alexander turut memberitahu, beliau bukan seorang yang cerewet tentang protokol.

WILLEM-Alexander dan Maxima muncul di balkoni Istana Diraja bersama anak-anak mereka. Dari kiri: Catharina-Amalia, Ariane dan Alexia.


Tambah beliau, acara melibatkan monarki terlalu bersifat simbolik dan ia perlu dijalankan dengan lebih ringkas.
Sehubungan dengan pemasyhuran Raja Willem-Alexander, bandar raya Amsterdam dibanjiri kira-kira 1 juta orang. Di samping mengalu-alukan monarki baharu itu, warga Belanda juga meraikan Hari Ratu yang disambut secara tahunan pada 30 April lalu.
Terusan-terusan popular di bandar raya itu dipenuhi ratusan bot dalam pelbagai bentuk dan saiz, kebanyakannya membawa penduduk negara itu yang girang berpesta.
Bendera dan panji-panji menarik menghiasi rumah-rumah di Belanda selama sehari. Peniaga pula meraih keuntungan sempena acara diraja itu dengan menjual kek oren, bunga dan pakaian.
Kedai-kedai cenderamata diisi penuh dengan barangan dan dekorasi berwarna oren, warna perlambangan keluarga diraja Belanda.
"Semua orang mesti memakai warna oren! Barangan paling laku ialah baju T, sweater dan selendang bulu," kata seorang peniaga, Elise daripada butik Janssens & Janssens.
Willem-Alexander telah lama berusaha bagi memenangi hati rakyat Belanda dan isterinya banyak membantu melonjakkan populariti beliau sejak mereka berkahwin pada tahun 2002.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2SCh15KHO 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment