Páginas

Thursday, 2 May 2013

Tinggalkan kerjaya sebagai kontraktor dan menceburi bidang pertanian



Harga runcit bagi sekilogram (kg) rock melon gred A antara RM6 hingga RM9, manakala harga ladang antara RM3.40 hingga RM3.60 sekilogram.
PENANAMAN menggunakan kaedah atau teknologi fertigasi bukanlah perkara baru bagi golongan petani tempatan. Teknologi tersebut terbukti memberi anjakan baru kepada bidang pertanian dan mendapat sambutan memberangsangkan berikutan mudah dilaksanakan berbanding kaedah konvensional lain.
Selain mudah dan cepat, kaedah tersebut juga tidak memerlukan ruang yang luas kerana medium tanaman fertigasi hanya memerlukan sebuah beg plastik berisi medium dengan baja diagihkan melalui sistem pengairan
Sesuai dengan namanya fertigation digabungkan dengan pengairan iaitu irrigation dan pembajaan iaitu fertilizer yang disalurkan serentak kepada tanaman khususnya yang bernilai tinggi seperti rock melon dan tomato.
Melihat fertigasi sebagai kaedah yang mampu memberi keuntungan Shahrom Tumiran, 43, bertekad mengambil risiko dan menceburi bidang tanaman itu demi mendapatkan hasil berkualiti serta meningkatkan pencapaian dalam bidang pertanian.
Menurut anak kelahiran Bukit Kapar, Klang itu, memilih untuk bertukar dari tanaman menggunakan kaedah konvensional kepada fertigasi sejak 2006 ternyata tidak sia-sia apabila hasil tanaman serta keuntungan yang diperoleh berlipat kali ganda.
"Ketika masih menggunakan kaedah konvensional dahulu, saya sering berhadapan dengan masalah terutama dari aspek kawalan baja serta serangan rumput-rumpai.
"Namun, apabila menggunakan kaedah fertigasi ia mampu mengatasi masalah tersebut menerusi penggunaan baja yang dikawal dalam beg poli selain buah yang terhasil lebih bernilai tinggi kerana ditanam dan dikendalikan secara sistematik," katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada majlis penuaian buah fertigasi rock melon di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gombak dan Petaling baru-baru ini yang dihadiri Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Zainal Dahalan.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu sebelum ini pernah bekerja di sektor perkilangan selama tujuh tahun dan mempunyai lesen kontraktor kelas F sebelum menceburkan diri dalam bidang pertanian.
Dia kini sedang membangunkan tanaman rock melon varieti Glamour di atas tanah seluas 1.8 ekar di Sungai Plong, Kuala Selangor dan telah berjaya menuai sebanyak 4,700 biji buah tersebut pada 31 Januari lalu.
Menurutnya, kesemua rock melon itu mula ditanam pada 1 Disember dengan mensasarkan pengeluaran sebanyak lapan tan.
Tambahnya lagi, komitmen yang tinggi perlu dipupuk pada peringkat permulaan ketika baru mula menceburkan diri dalam bidang pertanian kerana dengan kesungguhan itu, bakal petani dapat menilai sendiri hasil yang akan diperolehi.
"Asas prinsip itu penting dan yang paling utama kita tidak perlu cemas atau bimbang untuk menjual hasil tanaman jika ia benar-benar berkualiti dan menepati ciri-ciri terbaik.
"Secara langsung juga Jabatan Pertanian akan memberikan bantuan dan tunjuk ajar kepada petani tentang cara-cara mengusahakan tanaman agar mengeluarkan produk lebih produktif," ujarnya lagi.
Sementara itu, menurut Zainal, projek tanaman rock melon di PPK Gombak dan Petaling merupakan projek yang dikembangkan hasil daripada kejayaan projek tersebut di PPK Klang.
Di kawasan tersebut katanya, seramai 11 orang peladang mengusahakan tanaman rock melon di kawasan seluas 11 ekar sekali gus mengikat kontrak perladangan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan beberapa syarikat pembeli lain.
Mengulas lanjut mengenai projek di PPK Gombak dan Petaling, beliau berkata, pengusaha telah memperoleh pendapatan lumayan dan menguntungkan dalam masa tiga pusingan tuaian.
"Kami berharap projek seumpama ini akan diperkembangkan lagi ke kawasan lain di sekitar PPK Gombak dan Petaling sekali gus dapat membantu peladang meningkatkan lagi tahap ekonomi dan pendapatan mereka.
"Justeru, LPP telah meluluskan peruntukkan RM200,000 bagi memperluaskan projek rock melon yang sedia ada.
"Di samping itu juga diharapkan pengusaha sedia ada dapat membantu bakal pengusaha yang akan melaksanakan projek tambahan tersebut sekali gus menjadi mentor kepada mereka dalam memastikan projek ini berjaya," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130415/ag_01/Tinggalkan-kerjaya-sebagai-kontraktor#ixzz2S0wBetVP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment