Páginas

Monday, 17 July 2017

Kerajaan Negeri Tetap Teruskan Agenda Pembangunan - MB

Aida Abd Rahman | Sunday, July 16, 2017
 
Ahmad Razif memotong kek sebagai simbolik meraikan mahasiswa dan mahasiswi Permata di majlis sambutan hari raya di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, malam tadi. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail 
*****
Kerajaan negeri  tidak akan mengurangkan sebarang program agenda pembangunan negeri terutama bagi memperkasakan bidang pendidikan, walaupun negeri berdepan kekangan kewangan.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, biarpun begitu, kerajaan masih berada di landasan sebenar dan akan meneruskan program kerajaan sebagaimana yang dirancang berdasarkan perolehan negeri.

“Kita belanja mengikut apa yang kita rancang. Jadi tiada masalah. Apabila kita mengalami kekurangan hasil, maka banyak perkara yang kita perlu perbetulkan balik. Antaranya program-program seperti  Permata sebelum ini banyak kita laksanakan, tetapi untuk tahun ini kita cuba menggunakan konsep baru sebagaimana malam ini,  biasa kita laksanakan (majlis hari raya) di hotel tetapi malam ini kita buat di Kediaman Seri Iman, jadi secara tidak langsung kita dapat melaksanakan program seperti biasa dan perbelanjaan yang lebih murah.

“Ini suatu transformasi ekonomi yang kita lakukan, dalam kita hendak memastikan agenda pembangunan dan program-program kerajaan yang kita laksanakan tidak akan berkurang sebagaimana sebelum ini,”katanya.


Beliau berkata demikian di sidang media di Majlis Sambutan Hari Raya Bersama Siswa/Siswi Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) di Kediaman Seri Iman, malam tadi.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN),  Dato’ Mohd Zubir Embong dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ A Rahman Yahya.

Hadir sama, Yang Dipertua Permata Induk, Kamaruzaman Jusoh.


Di majlis itu, kira-kira 1,200 anak Terengganu di kalangan mahasiswa dan mahasiswi Permata dari dalam dan luar negara turut hadir.

Ahmad Razif menjelaskan, pembiayaan pelajar ke luar negara atau mengikuti A-Level juga diteruskan dengan memilih pelajar terbaik serta sudah mendapat tempat melanjutkan pengajian masing-masing, berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

“Mereka yang berjaya mendapat tempat (pengajian) dan memenuhi syarat-syarat kita, jadi mereka ini akan kita teruskan pembiayaan. Tiada masalah dan ini sebagai langkah penjimatan dengan kaedah ini kita akan menanggung mereka tiga hingga empat tahun sahaja berbanding hingga enam tahun sebelum ini,”katanya.

Dalam laporan sebelum ini, kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu (YT) memperuntukkan lebih RM29.7 juta untuk menaja 468 pelajar Terengganu ke universiti luar negara termasuk lima yang melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka di Jerman Mac lalu.

Menteri Besar berkata, penajaan itu diteruskan demi masa depan rakyat meskipun kerajaan negeri berdepan kekangan ekonomi dan keutamaan penajaan diberi kepada pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Matrikulasi.

Setakat Mac lalu, seramai 17 pelajar ditaja YT untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan, perubatan dan aeroangkasa ke universiti terkemuka di Jerman dan United Kingdom.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment