Páginas

Sunday, 25 September 2016

LAJSM Jadi Acara Utama TMT 2017

syazni zainudin  9/24/2016

Kerajaan Negeri akan meletakkan program Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) sebagai acara utama sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017 tahun hadapan.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, sambutan luar biasa peserta setiap tahun menyaksikan acara itu mampu menjadi tarikan pelawat untuk mengunjungi Terengganu pada setiap kali penganjurannya.


Katanya, bagi tahun ini penyertaan bagi LAJSM telahpun mencapai sasaran awal iaitu seramai 50,000 peserta sekaligus menyaksikan peningkatan hampir 70 peratus berbanding tahun lalu.

"Tahun lepas, kita dapat 30,000 penyertaan sahaja, kemudian saya beritahu Majlis Sukan Negeri supaya lebih banyak promosi dibuat dan Alhamdulillah hasilnya pada hari ini, kita berjaya dapatkan 50,219 peserta untuk acara ini.

"Dari jumlah itu, seramai 200 peserta adalah dari luar negara dan ini secara tidak langsung bukan sahaja dapat memberi impak positif terhadap industri sukan negeri malah akan meletakkan industri pelancongan Terengganu di mata dunia," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah LAJSM 2016 di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong; Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Mohd Zukifli Abu Bakar.

Pada kejohanan kali ini sebanyak 10 kategori telah dipertandingkan dengan hadiah keseluruhan sebanyak RM300,000 telah ditawarkan kepada peserta.


Bagi kategori 42 kilometer (km) lelaki dan wanita terbuka antarabangsa, juara dimenangi oleh peserta dari Kenya, Gilbert Muge dengan catatan masa 2 jam 33 minit dan 44 saat manakala Susan Jemutai Kosgei menamatkan larian dengan masa 3:04:33s. Masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000.

Dalam kategori lelaki terbuka pula, pelari kelahiran Kedah, Muhaizar Mohamad berjaya merangkul gelaran juara dengan menamatkan larian sejauh 21 km menerusi catatan masa terbaik 1:10:54s meninggalkan Mohd Jironi Riduan (1:11:57s) dan Ow Yong Jin Kuang (1:13:25s).

Manakala dalam acara yang sama bagi wanita, pemegang rekod kebangsaan 21 km, Sheela Samivellu berjaya mempertahankan kejuaraannya buat kali keempat berturut-turut dengan catatan masa 1:34:21 menewaskan pencabar terdekatnya Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid ditempat kedua (1:34:21) dan Melissa Lim Yi Xin ditempat ketiga (1:35:54).

Sementara itu, Nor Amelia Musa pula berjaya melakarkan kejayaan cemerlang bagi kategori wanita  apabila meraih kemenang keempat berturut-turut selepas menamatkan perlumbaan dengan masa terpantas (1:33:06) di depan Kok  Swee Sen (1:42:04s) dan Chua Mei Yin (1:51:50s).

teganukita.net/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment