Pegawai Khas Menteri Besar, Ahmad Fauzan Abdul Kadir berkata khabar angin mengenai pertemuan beliau bersama Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang dijadualkan pada hari ini juga tidak benar.
“Berhubung isu pertukaran Menteri Besar Terengganu yang kini sedang rancak disebarkan melalui media sosial, saya ingin menegaskan bahawa tiada pertukaran menteri besar dan khabar angin mengenai pertemuan antara Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman dengan Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang dijadualkan pada hari ini adalah tidak benar sama sekali.
“Dalam satu kenyataan Perdana Menteri sebelum ini ada mengatakan bahawa Ahmad Razif kekal menjadi Menteri Besar Terengganu sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 serta sebarang khabar angin mengenai pertukaran adalah tidak benar dan hanya dicipta oleh musuh-musuh dalaman politik untuk menghuru-harakan kestabilan politik di Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan di media rasminya.
Tambahnya dalam kenyataan tersebut, Ahmad Fauzan berkata isu tersebut tidak seharusnya diwujudkan kembali kerana ianya telahpun selesai sebelum ini.
“Berhubung dengan analisis politik yang dibuat dalam satu akhbar tempatan baru-baru ini, analisis itu dibuat berdasarkan kepada pandangan penulis dan pandangan ahli politik yang tidak mahu melihat Ahmad Razif mengetuai negeri dalam menghadapi pilihan raya.
“Kenyataan dan analisis yang dibuat tidak mencerminkan hasrat dan niat Perdana Menteri terhadap Menteri Besar Terengganu dan tiga lagi menteri besar yang lain,” katanya.
Katanya, Ahmad Razif juga sudah menyatakan pendiriannya untuk tidak melayani segala spekulasi dan hanya mahu menumpukan kepada pentadbiran negeri sehingga habis penggal selain terus memacu pembangunan negeri.
teganukita.net/MediaJerteh
No comments:
Post a Comment