MOHD. RADZI MOHD. ZIN | 23 September 2016 6:00 PM
Langkah ini diambil berikutan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 5 Januari 2016 menunjukkan daripada 17.7 juta yang layak mendaftar sebagai pemilih, hampir 4.2 juta belum berdaftar. Lebih meresahkan, 59 peratus daripada jumlah itu dalam kalangan Melayu dan Bumiputera.
Jika perangkaan ini kekal hingga PRU-14, ini bermakna hampir 2.4 juta orang Melayu dan Bumiputera yang tidak akan keluar mengundi.
Sayugia diingatkan menegakkan pemerintahan Islam di Malaysia memerlukan kepada proses mendapat suara majoriti di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Untuk mendapat suara majoriti di Dewan Rakyat atau DUN mestilah menang kerusi terbanyak dalam dewan-dewan tersebut. Untuk memenangi kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya mestilah mempunyai pengundi yang ramai (majoriti).
Sesungguhnya, antara faktor yang membawa kepada perkembangan pesat Islam di Malaysia adalah pemerintahnya beragama Islam. Tanpa kuasa di tangan orang Melayu dan Islam, jangan mimpi kita bebas beribadat walau di ceruk mana pun di bumi bertuah ini. Islam pula tidak menghalang penganut agama lain beribadat selagi tidak mengganggu-gugat kedudukan Islam sebagai agama bagi negara. Ini termaktub dalam Perlembagaan.
Namun, sikap sambil lewa golongan muda Islam akibat rasa selesa dan tidak mengambil tahu kepentingan mendaftar sebagai pemilih serta mengundi dalam pilihan raya adalah bahaya. Jika berterusan, dikhuatiri kedudukan Islam dalam negara tidak dapat kita pertahankan. Hilang kelayakan mengundi disebabkan tidak mendaftar ibarat mengulang episod duka peribahasa Melayu, menang sorak kampung tergadai. Ketika itu, menangis air mata darah sekalipun sudah tidak berguna.
Sedarlah bahawa undian itu bermaksud memberi mandat kepada seseorang bagi sesuatu kepemimpinan. Maka, sebelum diberikan mandat tersebut, wajib kita pastikan calon itu layak atau tidak. Ini sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (an-Nisa’: 58)
Dalam konteks Malaysia hari ini, proses menegakkan kerajaan Islam yang dibenarkan oleh undang-undang adalah melalui pilihan raya. Maka menyertai pilihan raya bagi tujuan itu adalah wajib. Fahamilah, seseorang itu tidak layak mengundi dalam pilihan raya kecuali dia layak dan berdaftar sebagai pemilih secara sah. Maka mendaftarkan diri sebagai pemilih adalah wajib.
Malah, majoriti ulama berpendapat hukum mengundi adalah wajib. Ini berdasarkan konsep penyaksian iaitu menjadi saksi bahawa calon yang diundi adalah baik dan layak memegang amanah sebagai pemerintah. Pendapat ini digunakan oleh Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna; Kesatuan Ulama Sedunia yang dipengerusikan oleh ulama kontemporari, Prof. Dr. Yusuf al-Qardawi; Syeikh Al-Azhar, Syeikh Ahmad Tayyib dan Mufti Mesir, Syeikh Ali Jumaah.
Fikirkanlah dalam-dalam kata-kata bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. Katanya, bilangan pemilih pada 2013 adalah 13.2 juta. Pengundi Melayu berdaftar sebanyak enam juta tetapi bilangan orang Melayu berjumlah 8.9 juta berumur 21 tahun ke atas, lenyap entah ke mana.
“Orang Melayu adalah 70 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia tetapi mereka hanya mewakili 58 peratus jumlah pengundi. Kalau semua yang layak ini menunaikan hak, jumlah itu sepatutnya 65 peratus tetapi hakikatnya tidak begitu.”
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/jangan-menang-sorak-kampung-tergadai-1.386108#sthash.a0xt0ekb.dpuf
MJ MediaJerteh
No comments:
Post a Comment