Páginas

Tuesday, 9 May 2017

UMNO 71 Tahun : Memperingati Lahirnya Sebuah Perjuangan Bangsa


KUALA LUMPUR, 8 Mei – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, sambutan hari UMNO ke 71 ini merupakan hari kepada memperingati sebuah gerakan massa yang telah diasaskan oleh bangsa Melayu di negara ini yang bertunjangkan perjuangan untuk membela Islam, bangsa dan tanahair.


Menurut beliau, pada 11 Mei 71 tahun yang lepas, lahirlah sebuah wadah perjuangan bangsa menerusi kewujudan sebuah parti politik yang diberi nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau pun UMNO (United Malay National Organisastion).

“Alhamdulillah, pada 11 Mei ini insyaAllah, kita semua terutamanya bangsa Melayu bakal menyambut hari ulangtahun penubuhan PEKEMBAR ataupun UMNO ke 71, yang menjadi satu wadah perjuangan bangsa pada 11 Mei 1946 dulu.

“Seperti yang kita semua maklum, UMNO merupakan sebuah parti yang sangat berbeza dengan mana-mana parti politik yang wujud di dalam negara kita. Ini adalah kerana, UMNO itu lahir dengan satu DNA iaitu lahirnya  bersama satu sejarah perjuangan sebuah bangsa.

“UMNO tidak lahir dalam keadaan perebutan kuasa politik,  kekecewaan,perpecahan, ataupun  lahir daripada pemberontakan dan perebutan jawatan dalam parti. UMNO itu lahir daripada ratusan tahun terjajahnya sebuah bangsa oleh terjajah oleh bangsa asing,” katanya dalam satu temubual eksklusif bersama UMNO Online di sini hari ini.

Jelasnya Annuar lagi, kesan daripada ratusan tahun terjajahnya sebuah bangsa, maka bertitik tolak dari itu maka terjelmalah dalam jiwa bangsa Melayu sebuah perjuangan untuk bermuafakat dan bersatu padu, bagi memperjuangan kepentingan Islam, bangsanya dan tanahairnya.

“Dan sejak UMNO lahir itu, parti ini telah melalui satu proses dan ujian sebagai sebuah parti politik dalam gelanggang demokrasi di mana setiap lima tahun, UMNO mengembalikan mandat kepada rakyat.

Dan rakyat pula bertimbal balas secara berterusan memberikan sokongan, dokongan, undi dan kepercayaan untuk UMNO memimpin dalam satu bentuk formula politik yang mulanya terjelma dalam bentuk perikatan dan kini Barisan Nasional.

“Jadi perayaan untuk menyambut ulang tahun UMNO itu bukanlah satu peristiwa yang biasa-biasa. Ianya satu perayaan untuk menyemarakkan kefahaman dan penghayatan kita bahawanya hidup ini merupakan satu perjuangan dan perjuangan itu adalah satu tuntutan agama. Perjuangan ini juga adalah perjuangan yang berasaskan agama, bangsa. Negara, dan ianya bukan hanya soal permainan politik semata-mata.

“Jadi perayaaan itu penting kerana apabila kita mewarisi sebuah perjuangan, ia mestilah disuburkan semangat perjuangan itu, supaya semangat itu dapat disuburkan dari satu generasi kepada satu generasi yang seterusnya.

“Sebab itulah kita satu-satunya parti yang mewujudkan dan merayakan apa yang kita panggil sebagai Hari UMNO, untuk memperingati satu tarikh keramat, yang mana dulunya kita satu bangsa yang berpecah belah, bangsa yang dijajah, mangsa yang dijadikan polisi pecah dan perintah selama lebih 400 tahun.  Akhirnya kita hari ini menjadi satu bangsa yang merdeka dan maju, di mana Islam ditegakkan, negara dimerdekakan, bangsa di bangunkan,” tegasnya.

Bersempena ulangtahun UMNO ke 71 ini, beliau menyeru setiap ahli UMNO yang berjumlah 3.6 juta, bangsa Melayu dan umat Islam, serta rakyat Malaysia keseluruhannya untuk bersama-sama menyambut dan merayakan dalam bentuk menghayati jalur-jalur perjuangan sebuah parti politik bangsa Melayu.

“Ini supaya kita dapat sama-sama menghargainya, kita dapat bersama menghayati perjuangannya, dan kita semua dapat menjaganya, di mana di bawahnya kita dapat bernaung sebagai sebuah bangsa yang bersatu padu untuk bergerak ke hadapan menjadikan negara kita sebuah negara yang maju, rakyat yang bersatu padu untuk terus mengekalkan kemakmuran.

“Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan  selamat menyambut  Hari UMNO pada 11 Mei ini, dan menyeru seluruh lapisan rakyat dan masyarakat, marilah kita sama-sama menghayati sejarah, liku-liku serta falsafah perjuangan sebuah parti politik bernama UMNO,” akhiri beliau.

-MediaUMNO/MJ

No comments:

Post a Comment