Páginas

Sunday 13 August 2017

75 Atlet Terengganu Sahut Cabaran Sukan SEA 2017, Kuala Lumpur

Suriati Ali | Sunday, August 13, 2017

Sultan Terengganu berkenan menerima obor Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 daripada Khairy pada Pra Perasmian Kejohanan Kuda Lasak Sukan SEA, Kuala Lumpur 2017 di Stadium Mini, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, malam tadi. Foto Harish Fadzillah Kassim

Seramai 75 atlet anak Terengganu daripada keseluruhan 845 atlet negara bakal membawa cabaran negara  pada temasya Sukan SEA, Kuala Lumpur 2017 pada 19 hingga 31 Ogos ini.


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat berkata, jumlah itu merupakan antara penyertaan tertinggi atlet dari Terengganu berbanding dalam sukan sama dua tahun lalu di Singapura dengan penglibatan lebih  50 atlet dalam pelbagai acara sukan.

Katanya,peningkatan atlet yang menyertai temasya  terbesar anjuran negara itu secara tidak langsung memberi impak positif dalam perkembangan sukan di Terengganu  sekali gus membuktikan bahawa atlet negeri ini mampu bersaing di persada antarabangsa.

“Jadi saya harap mereka dapat bertanding dengan bersungguh-sungguh  dan mampu mengharumkan nama negara menerusi sasaran 111 pingat emas dalam 398 acara yang dipertandingkan nanti.

“Malah kita juga berbangga apabila Terengganu turut terpilih untuk menjadi tuan rumah kepada sukan kuda lasak yang akan memulakan saingan pada 20 Ogos nanti di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tamat Majlis Pra Perasmian Kejohanan Kuda Lasak Sukan SEA, Kuala Lumpur 2017 di Stadium Mini, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, malam tadi.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidn berkenan berangkat merasmikan majlis itu
Hadir mengiringi baginda, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama anakanda, Tengku Nadirah Zahara, Tengku Muhammad Muaaz dan Tengku Fatimatuz Zahara.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’  Mohd Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment