Páginas

Monday, 21 August 2017

Penternak Sanggup Belanja Besar Sambut Kemerdekaan Negara

Mastura Jamaldin | Sunday, August 20, 2017


Berbekalkan semangat cintakan negara, seorang penternak mempunyai caranya yang tersendiri dalam menonjolkan semangat patriotik dan kecintaannya terhadap negara apabila memperuntukkan RM5,000 bagi menghias rumah dengan Jalur Gemilang.


Tuan Ahmad Tuan Ismail, 60, sanggup berbelanja besar untuk membeli bendera dan cat bagi menghiaskan kediamannya itu. Apa yang uniknya, rumah yang terletak di Kampung Getang Hilir bukan dihiasi dengan satu atau dua Jalur Gemilang tetapi lebih 500 bendera dalam pelbagai saiz.

Selain itu juga, bahan terbuang seperti tin susu serta botol air berjumlah lebih 300 biji turut didekorasi menjadi bunga kebangsaan bagi menambah seni hiasan halaman rumahnya.


Bertambah menarik apabila pelbagai peralatan lama sebelum dan selepas merdeka turut dipamerkan seperti alat membajak sawah, bahan tembikar termasuk gambar Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan kesemua bekas Perdana Menteri juga tersusun indah menghiasi satu sudut rumahnya yang dinamakan Galeri Kemerdekaan.

Tuan Ahmad yang lebih mesra dengan panggilan Ayah Ku berkata, beliau lahir pada 1957 dan mengganggap apa yang dizahirkan itu sebagai satu simbolik tanda kecintaan mereka terhadap negara.

“Memang setiap tahun saya, isteri beserta anak menantu akan meluangkan masa menghias rumah sempena sambutan bulan kemerdekaan.

"Ayah Ku bersyukur kerana isteri, Tuan Jamilah Tuan Abdul Aziz, 55, turut mempunyai minat dan semangat yang sama seperti saya dan dia tidak pernah menghalang semangat patriotik dalam diri Ayah Ku.  Anak perempuan Tuan Azma Tuan Ahmad,39, dan menantu Amran Samion,41, juga merupakan tulang belakang Ayah Ku dalam menyiapkan hiasan dan mencipta idea-idea kreatif bagi menampilkan kelainan untuk sambutan kali ini, " katanya kepada Teganukita ketika ditemui di kediamannya di Kampung Getang, Kuala Berang, hari ini.


Beliau berkata, dia dan keluarga menghabiskan masa selama tiga minggu untuk menghias laman rumahnya dengan Jalur Gemilang dan pelbagai replika malah akan menambah lagi hiasan itu menjelang sambutan pada 31 Ogos ini.

Menurutnya lagi, pada tahun ini beliau mencipta kelainan dengan membina replika menara KLCC yang dihasilkan daripada 40 batang buluh yang di belah menggunakan kapak dalam masa tiga hari.

"Idea ini datang daripada Ayah Ku dan  menantu iaitu Amran dan kami mencari sendiri buluh di hutan berhampiran sebelum membelahnya untuk dijadikan menara yang boleh dinaiki..memang susah tapi semangat kami mengatasi segalanya.

"Selepas itu, muncul pula idea untuk membina replika kereta kebal daripada buluh yang mengambil masa seminggu untuk disiapkan termasuk sebuah replika helikopter pejuang,"ujarnya.


Sementara itu, menantunya, Amran berkata mentuanya sangat bersemangat setiap kali tiba bulan Ogos malah perancangan telahpun dibuat beberapa minggu sebelum itu untuk menghiasi rumah mereka.

"Saya pun turut bersemangat melihat ayah mentua yang sememangnya teruja untuk menghias rumah dengan Jalur Gemilang dan sanggup mencarinya di merata tempat sekiranya tiada bekalan di Bandar Kuala Berang.

"Memang sedikit pun tak kisah untuk bantu ayah sebab saya pun suka membuat sesuatu yang baru malah kerjaya sebagai tukang kayu memudahkan saya mencipta kelainan dalam merealisasikan 'mood' sambutan Bulan Kebangsaan dengan dibantu sepenuhnya oleh isteri saya,Tuan Azma,"kata Amran.

Pada tahun ini, rumah Tuan Ahmad turut dipertandingkan dalam  Program Senyum, Syukurnya Negaraku Merdeka anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri(DUN)Kuala Berang bagi kategori Rumah Persendirian.

"Ayah Ku tidak meletakkan kemenangan sebagai sasaran utama kerana bagi Ayah Ku semangat juang adalah yang paling utama untuk puaskan hati kami..menang atau kalah bukan lah menjadi persoalan,yang paling penting semangat patriotik dalam diri kami sekeluarga.

“Alangkah baik sekiranya semua orang menanam semangat cintakan negara dan semoga semangat patriotisme kami sekeluarga terhadap negara akan tetap berkobar dan tidak akan pernah luntur,"katanya lagi.

Malah mereka juga berharap semangat semakin  mendalam supaya menjadi teladan untuk anak cucunya yang lain supaya meneruskan kemeriahan sambutan kemerdekaan.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment