Páginas

Monday 21 August 2017

Kibar Jalur Gemilang Di Dasar Laut Semarak Semangat Patriotik

Noraini Jusoh | Sunday, August 20, 2017


Pelbagai cara ditunjukkan rakyat Malaysia dalam menzahirkan semangat nasionalisme dan kecintaan kepada negara sempena sambutan Hari kebangsaan setiap tahun.


Bagi Persatuan Selaman Bebas Terengganu (PSBT) pula, kelainan dalam menzahirkan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-60 menerusi Program Terengganu Merdeka Free Dive, apabila mengibarkan Jalur Gemilang di dasar perairan Pulau Bidong, tanpa bantuan alat bekalan oksigen.


Majlis perasmian program Terengganu Merdeka Free Dive sempena Pelancaran Program Negaraku Sehati Sejiwa 2017 Peringkat Negeri itu disempurnakan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato’ Tengku Farouk Hussin Tengku Abd Jalil di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus pagi semalam.

Pengerusi penganjur program tersebut, Raja Faisal Raja Harun berkata, Jalur Gemilang bersaiz 18 meter panjang dan enam meter tinggi itu diturunkan ke dasar laut sedalam kira-kira 12 meter oleh 30 penyelam bebas dari Terengganu, Kelantan, Johor Bharu dan Kuala Lumpur, secara bergilir-gilir dalam tempoh 30 minit.


“Ia diturun dan dikibarkan pada dua lokasi berhampiran Galeri Air perairan Pulau Bidong, jam 1.30 petang.

“Seramai 10 penyelam skuba turut mengiringi kumpulan 30 penyelam itu sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” ujarnya.

Raja Faisal yang juga Penolong Setiausaha Kerajaan negeri (Unit Korporat) berkata, pengibaran Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan negara itu sesuatu yang unik kerana penyelam tidak menggunakan bantuan alat bekalan oksigen, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada kemahiran mengawal dan menahan pernafasan sepanjang berada di dasar laut.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment