Páginas

Monday 22 January 2018

50 Peratus Kuota Kediaman Untuk Orang Melayu
 Suriati Ali  Sunday, January 21, 2018

Mohd Jidin bersama peserta Seminar Pembangunan Srata, di Sumai Hotel, Kuala Terengganu, Foto Harish Fadzillah Kassim.
*****
Kerajaan melalui Dasar Perumahan Negeri menetapkan  kediaman yang mempunyai lebih 200 unit akan tertakluk kepada penetapan kuota orang Melayu iaitu sebanyak 50 peratus bagi menggalakkan pembinaan kediaman berstrata.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Negeri, Dato Mohd Jidin Shafee berkata, bagaimanapun, pembangunan kurang daripada 200 unit pula tidak dikenakan penetapan kuota orang Melayu.


Katanya, dasar itu ditetapkan bagi pembangunan perumahan swasta di atas tanah yang berkeluasan kurang tiga hektar.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan negeri juga perlu didedahkan lebih banyak maklumat berkenaan pembangunan hartanah berstrata kerana ianya agak kompleks. Malah, PBT dan kerajaan juga hendaklah bersedia menjadi pemudah cara yang terbaik supaya pembangunan negeri menjadi lebih pantas dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Selain itu, rakyat di negeri ini harus dididik agar bersedia dan patuh kepada peraturan serta garis panduan terutamanya berkenaan bayaran caj perkhidmatan bulanan bagi kediaman berstrata supaya bangunan dapat diselenggara dengan baik dan mengikut jadual,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pembangunan Srata, di Sumai Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.

Mohd Jidin berkata, kerajaan negeri  memberi keutamaan pembangunan hartanah kediaman bersrata di kawasan bandar memandangkan kekurangan  tanah untuk pembangunan selain menjadi 'trend pembangunan' di Pantai Barat.

“Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) perlu memainkan peranan kerana memiliki pengetahuan, keupayaan dan pengalaman dalam pembangunan tanah kediaman bersrata,” katanya.

Pengerusi REHDA Terengganu, Mohamad Hishamudin Muda berkata, pembangunan hartanah berstrata di Terengganu masih agak kurang berbanding negeri di Pantai Barat.

Katanya, bagi pihak pemain industri, terdapat pelbagai cabaran yang harus dilalui bagi membolehkan sesuatu pembangunan berstrata itu berjaya.

 "Pihak konsultan juga perlu mengambil serius setiap perubahan kehendak dalam garis panduan dan akta agar tidak memberi implikasi negatif terhadap pembangunan sesebuah projek.


 "Bagi pihak kerajaan dan agensi yang terlibat pula, bantuan dan sokongan berterusan amatlah diperlukan oleh pemain industri," katanya.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment