Wednesday, 24 January 2018

Ekonomi Malaysia tidak seburuk digambarkan

24 Januari 2018 3:00 AM

NAJIB TUN RAZAK menyampaikan ucaptama perasmian Invest Malaysia 2018 yang dihadiri lebih 2,000 peserta terdiri daripada ahli-ahli korporat tempatan dan asing di Kuala Lumpur, semalam. Fadzil Zainol
*****
KUALA LUMPUR 23 Jan. - Kedudukan ekonomi Malaysia pada ketika ini jauh lebih kukuh dan meyakinkan hasil pelbagai transformasi di bawah Model Ekonomi Baharu (MEB) sejak 2009 sehingga diiktiraf oleh badan-badan antarabangsa yang sekali gus memadam tuduhan liar pembangkang bahawa negara berada di ambang kebankrapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hasil daripada pelbagai pembaharuan, negara berjaya berdepan segala krisis yang mendatang walaupun dasar-dasar kerajaan sering diperlekehkan.


Najib menyenaraikan beberapa kemampuan kerajaan mening­katkan ekonomi seperti kenaikan pendapatan bulanan isi rumah daripada RM4,025 pada 2009 kepada RM6,958 setakat 2016 dengan penciptaan 2.26 juta pekerjaan dalam tempoh sama, kehadiran pelabur-pelabur antarabangsa secara berterusan serta kecemerlangan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) di persada antarabangsa.

“Beberapa ahli politik suka membuat anda berasakan Malaysia akan menuju kebankrapan. Adakah anda rasakan begitu? Saya rasa tidak dan Bank Dunia serta Tabung Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) juga mempunyai fikiran yang sama,” katanya ketika menyam­paikan ucaptama perasmian Invest Malaysia 2018 yang dihadiri lebih 2,000 peserta terdiri daripada ahli-ahli korporat tempatan dan asing di sini hari ini.

Perdana Menteri mengakui negara melalui detik sukar pada 2008 akibat krisis hutang dunia yang melanda sehingga menjejaskan keyakinan rakyat, dan membuatkan beliau mengumumkan pakej rangsangan sebanyak RM60 bilion untuk merancakkan kembali ekonomi negara.

Jelasnya, kerajaan terus ber­depan kesukaran apabila pembangkang menggunakan segala perkara untuk menjatuhkan kerajaan termasuk menuduh negara dijual kepada pelabur China, memutar belit isu berkaitan syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Saya ingin mengimbau kembali bahawa kita menerima pelaburan dari China dan Hong Kong sebanyak RM63 bilion. Tetapi kita juga pernah mendapat pelaburan sebanyak RM70 bilion dari Jepun, tetapi mengapa tiada pihak menyatakan negara kita telah dijual kepada Jepun,” katanya.

Najib juga menjelaskan beliau tidak mengambil sikap lepas tangan untuk menyelesaikan pelbagai isu berbangkit, khususnya berkaitan 1MDB yang dijadikan modal politik oleh pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan.

“Terdapat beberapa pihak berusaha mensabotaj ekonomi negara dengan mengaitkannya dengan syarikat milik kerajaan demi kepentingan politik mereka. Anda semua tahu saya merujuk kepada 1MDB. Saya tidak akan mengabaikan perkara ini kerana sememangnya terdapat kegagalan dalam syarikat ini yang perlu dirisaukan,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ekonomi-malaysia-tidak-seburuk-digambarkan-1.595842#ixzz554uOE0ts
© Utusan Melayu (M) Bhd

- MEDIAJERTIH

No comments:

Post a Comment