Memulakan khidmat di negeri bertuah ini pada 2008, penulis sudah melalui era pentadbiran tiga Menteri Besar, bermula dengan Datuk Seri Idris Jusoh, diikuti Datuk Seri Ahmad Said, seterusnya Datuk Seri Ahmad Razif hingga kini.
Biarpun peralihan pentadbiran yang bertukar tiga tangan dalam tempoh 10 tahun dilihat terlalu pantas dan singkat, penulis akui, tiga tokoh pemimpin ini mempunyai karisma dan kelebihan tersendiri, yang masing-masing memberi impak besar kepada kemajuan ekonomi, kepimpinan dan kemakmuran negeri ini.
Sudah pasti, sebelum era tiga pemimpin ini, 25 tahun pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad tidak dinafikan berjaya membina tapak kukuh untuk Barisan Nasional (BN) di negeri ini.
Justeru, ketika membaca artikel di sebuah portal berita baru-baru ini, sukar untuk dicerakinkan dari mana sandaran ulasan yang sebegitu negatif, tidak adil dan jauh tersasar daripada hakikat sebenar kemajuan dan rahmat yang dinikmati warga Terengganu.
Jika 10 tahun lalu dari Kuala Lumpur ke Terengganu penulis terpaksa memandu hingga lapan jam melalui jalan biasa, kini sudah ada Lebuh Raya Pantai Timur 2 yang memendekkan masa perjalanan kepada sekitar empat jam saja.
Jika 10 tahun lalu bandar raya Kuala Terengganu mati sebaik Maghrib menjelma, kini kerancakan aktiviti ekonomi dan sosial berterusan hingga ke malam. Pergilah dan lihat sendiri di beberapa lokasi antaranya KT Walk, Pasarnita, Paya Bunga Sentral dan Paya Bunga Square.
Jika dahulu sesi pengajaran dan pembelajaran menggunakan buku dan papan hitam, sebahagian besar sekolah di negeri ini sudah melalui transformasi sebagai kelas maya, dengan e-book menggantikan buku teks.
Itu belum masuk lagi pembangunan Kuala Terengganu City Centre yang merangkumi tiga komponen utama iaitu pusat gaya bersepadu, pusat komersial dan hab pendidikan yang bakal mewujudkan lebih 10,170 peluang pekerjaan; jambatan angkat (draw bridge) yang pertama di Asia menghubungkan Muara Selatan di Kuala Terengganu dan Muara Utara di Seberang Takir; beberapa hotel baharu; selain pembangunan Pasar Besar Kedai Payang yang akan dinaik taraf dan menjadi antara mercu tanda baharu di bandar raya ini dalam tempoh kurang daripada lima tahun.
Suka untuk penulis kongsikan di sini, Terengganu yang diapit Kelantan dan Pahang bukan lagi sebuah negeri mundur seperti era 1970-an dahulu, apatah lagi jauh sekali diperkatakan sebagai antara negeri paling miskin di Malaysia.
Walaupun pembangunan Terengganu terencat selama lima tahun selepas pentadbiran kerajaan diambil alih PAS selama sepenggal bermula 1999, Idris yang merampas kembali Terengganu daripada PAS pada pada Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004 pantas membangunkan semula negeri ini, sehingga Kuala Terengganu berjaya dinaik taraf kepada bandar raya pada 2008.
Mengikut rekod Unit Perancang Ekonomi Negeri, pendapatan bulanan isi rumah secara purata di Terengganu ialah pada kadar RM4,816 untuk 2014 dan RM5,775 untuk 2016, sekali gus meletakkan negeri penyu ini di tangga kelapan daripada 13 negeri di Malaysia dan menangkis tuduhan bahawa Terengganu adalah antara negeri paling miskin di Malaysia.
Hakikatnya, Kelantan adalah negeri paling miskin daripada segi pendapatan bulanan isi rumahnya yang secara purata direkodkan sebanyak RM3,715 pada 2014 dan RM4,214 pada 2016.
Malah, kadar kemiskinan di Terengganu sebelum minyak ditemui dan menjadi antara hasil pendapatan utama negeri adalah 68.9 peratus pada 1970-an dan menurun jauh kepada 0.4 peratus pada 2016.
Hingga Disember 2017, Terengganu ialah negeri kedua tertinggi berjaya mengeluarkan bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) daripada kelompok miskin tegar mengikut senarai e-Kasih iaitu 48,940 KIR dan Terengganu juga adalah negeri bebas KIR yang dikategorikan sebagai miskin tegar.
Data pendapatan isi rumah yang tinggi serta kadar kemiskinan yang rendah sudah menampakkan polisi serta pendekatan cukup mapan serta bertanggungjawab oleh kerajaan BN di Terengganu.
Aspek pendidikan Terengganu yang saban tahun merekod kejayaan baharu juga tidak dilupakan.
Siapa sangka, Sekolah Menengah Kebangsaan Sheikh Abdul Malek menjadi sekolah aliran agama pertama menerima pengiktirafan International Baccalaureate World School 2017, Sekolah Menengah Imtiaz Besut yang menjadi juara dunia buat kali kedua sempena World Invention Creativity Contest 2015 dan 2017, selain menjuarai tangga teratas dalam kecemerlangan keputusan peperiksaan awam di negara ini baik di peringkat rendah mahupun menengah.
Pertumbuhan ekonomi negeri ini juga terus positif hingga meningkat kepada 3.8 peratus tahun lalu, berbanding 3.1 peratus pada tahun sebelumnya.
Peratusan tenaga kerja yang berpendidikan tinggi di Terengganu juga berada pada tahap 30 peratus dan ini dianggap satu aset besar selaras pelbagai usaha kerajaan negeri BN memperkasa sektor pendidikan negeri, sehingga berkembang lebih cepat daripada purata peringkat nasional iaitu 28 peratus.
Pembentangan Bajet Terengganu 2018 pada Disember lalu oleh Ahmad Razif yang memperkenalkan konsep Transformasi Terengganu Baharu (TTB) menjadi bukti bahawa kerajaan negeri pimpinan BN sentiasa berusaha menutupi lubang yang ada, bermula daripada kepentingan rakyat Terengganu dari usia bayi hinggalah ke warga emas – menepati dasar rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
Sektor perikanan, perladangan, pertanian malah pendidikan turut diperkasakan bagi membolehkan setiap golongan menikmati belanjawan yang dibentangkan.
Infrastruktur yang berkesan berjaya merebakkan pembangunan ke kawasan luar bandar seperti daerah Hulu Terengganu, Dungun, Setiu, Marang dan Kemaman, selain daerah baharu, Kuala Nerus, dan jaringan jalan raya sehingga empat lorong berjaya meningkatkan janaan ekonomi penduduk di bandar itu.
Kompleks Bebas Cukai di Tasik Kenyir, iaitu destinasi pelancongan berasaskan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu, bakal melonjakkan lagi kedatangan pelancong ke negeri ini yang saban tahun meningkat dari sekitar tiga juta sehingga lebih lima juta tahun lalu dan dijangka terus meningkat tahun ini.
Jika Terengganu negeri yang gagal seperti didakwa sesetengah pihak, bagaimana negeri ini, mampu menyediakan dana sehingga RM5 juta menerusi Tabung Darul Iman untuk membantu golongan kurang berkemampuan yang terbabit dengan bencana atau ditimpa musibah atau menderitai penyakit.
Bagaimana pula dengan Dana Hari Raya, Dana Bakti Remaja, dana pendidikan, dana bantuan keusahawanan dan pelbagai lagi bantuan lain yang semuanya mencecah puluhan juta ringgit disalurkan kerajaan negeri kepada warga Terengganu segenap lapisan dalam usaha mensejahtera dan memakmurkan rakyat?
Menyentuh pula soal politik, tidak dinafikan peralihan kepimpinan menjentik sedikit pergolakan dan ia berlaku dalam mana-mana parti.
Namun, panas itu tidak lama dan diplomasi serta pendekatan tunduk ke bumi yang diambil Ahmad Razif merapatkan kembali jurang yang terbina, sehingga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri
Ahmad Zahid Hamidi sendiri pernah menyatakan kekaguman jiwa besar pemimpin negeri ini melupakan sengketa demi perjuangan yang jauh lebih penting demi kesejahteraan rakyat.
Justeru, adalah tidak adil jika ada pihak yang entah apa tujuannya, cuba memalit lumpur memperlekehkan Terengganu yang sudah sedia cantik ‘track recordnya’ di bawah kepimpinan BN, khususnya Ahmad Razif ketika ini.
Apa yang pasti rakyat Terengganu yang sudah sekian lama menikmati kemakmuran dan kesejahteraan hidup di bumi bertuah ini hasil usaha keras kerajaan BN pastinya tidak mudah terhasut oleh omong bertunjangkan iri dan dengki untuk menjatuhkan BN dan Terengganu.
– BH/MEDIAJERTIH
No comments:
Post a Comment