Páginas

Friday, 6 June 2014

Datuk’ Ahmad Razif MB baharu Terengganu

Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman MB Baru Terengganu
Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman MB Baru Terengganu
KUALA LUMPUR – Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abd Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan berkata pelantikan Ahmad Razif bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Said itu telah diperkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abdidin.

“Adalah dimaklumkan bahawa Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin telah memberi perkenan peletakan jawatan Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu berkuat kuasa 12 Mei 2014.
“Baginda telah memperkenankan pelantikan Adun Seberang Takir Ahmad Razif sebagai Menteri Besar Terengganu berkuat kuasa mulai tarikh Yang Berhormat mengangkat sumpah jawatan dan sumpah rahsia di hadapan baginda,” katanya.
Najib berkata pelantikan itu adalah selaras dengan Syarat (1) Perkara 10 Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu yang dibaca bersama-sama perenggan (a) di bawah Syarat (2) Perkara 14.
Ahmad pertama kali dilantik sebagai menteri besar pada 23 Mac 2008 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 9 Mei tahun lepas. – Bernama
Di Ucapkan selamat bertugas dari umno bahagian Besut kepada MB Baru Terengganu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman

Kejohanan bola B12 MSSDB- Zon Jerteh Juara



KAMI JUARA…Pasukan Zon Jerteh bergambar kenangan selepas menjadi juara Kejohanan Bolasepak bawah 12 Majlis Sukan Sekolah Besut (MSSDB) menewaskan Zon Kuala Besut melalui sepakan penalti (4-3), kelmarin. (Khamis).
Perlawanan akhir yang diadakan di Padang Sekolah Kebangsaan Pusat Jertih itu menyaksikan kehebatan kedua-dua pasukan apabila mereka terikat seri 1-1 sehingga masa tambahan sebelum Zon Jerteh mengungguli permainan menang 4-3.
Pengurus Zon Jerteh, Lokman Yahya berkata, sekalipun menang penalti, beliau berpuashati dengan semangat dan komitmen pemainnya yang bermain dengan bersungguh untuk memenangi perlawanan.
pusat1
“Saya harap mereka yang terpilih mewakili daerah nanti akan akan mempamerkan permainan yang lebih baik dan memberansangkan supaya Besut akan menjadi juara pada Kejohanan B12 MSST nanti,” katanya.
Hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Abdul HalimHassan manakala jurulatih Pasukan Zon Jerteh ialah Roslan Jusoh

Klinik Kesihatan Padang Luas Terbaik


Pentadbiran Klinik Kesihatan Padang Luas, Jertih diminta mengekalkan status perkhidmatan terbaik kepada orang ramai kerana tiada sebarang aduan tidak puas hati mengenai perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat selepas setahun beroperasi.
Pengerusi Jawataankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanitam Keluarga dan Masyarakat negeri, YB. Muhamad Pehimi Yusof berkata, beliau tidak menerima sebarang aduan dan rungutan daripada penduduk setempat mengenai mutu perkhidmatan dan layanan diberikan kakitangan di klinik berkenaan.
Katanya, selepas setahun beroperasi orang ramai yang mendapat perkhidmatan rawatan di klinik terbabit memuji kerana system pengurusan yang cekap dan sistematik menyebabkan pesakit tidak menunggu lama.
Menurutnya, kilinik berkenaan yang kini mempunyai 64 petugas termasuk enam doktor mendapat pujian penduduk setempat kerana mampu melayani pesakit dengan baik.
“Saya harap pencapaian ini dapat dikekalkan dan menjadi contoh kepada klinik danhospital lain khususnya di daerah Besut,” katanya.
Muhamad Pehimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, berkata demikian ketika Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama Klinik Kesihatan Padang Luas, dekat Jertih beroperasi untuk penduduk di Mukim Pelagat.
Beliau berkata, klinik terbabit agak istimewa kerana semua pesakit yang datang membuat pemeriksaan akan dilaakukan sendiri oleh doktor dan bukan pembantu perubatan sebagai klinik lain.
Muhamad Pehimi berkata, penduduk di Kawasan DUN Kota Putera, akan mendapat klinik kesihatan baharu di Kampung Gong Kemas yang kini giat dalam pembinaan.

Pemuda UMNO Malaysia anjur Forum mengenai Hudud/ Sekitar Jambori Orang Muda Besut.


PEMUDA Umno Malaysia akan menganjurkan satu forum bagi memperjelaskan mengenai pelaksanaan hukum hudud di negara ini, dua minggu akan datang.
Ketua Pergerakannya, Khairy Jamaluddin berkata, beliau sendiri akan menjemput beberapa tokoh agama dan pakar undang-undang dalam forum itu nanti.
“Pemuda UMNO sebagaimana pandangan daripada UMNO sendiri, kita terima dan kita tidak menolak hukum hudud sebagai hukum Allah.
“Kita hanya melihat dari sudut pelaksanaannya, justeru pemuda UMNO kita akan mengadakan satu forum dalam masa yang terdekat.
Khairy berjenaka dengan seorang penerima hadiah.
“Saya sendiri akan jemput beberapa tokoh agama untuk memberi pandangan dan juga pakar undang-undang syariah dan juga undang-undang perlembagaan supaya kita dapat pandangan yang lebih jelas dari sudut pelaksanaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Jambori Orang Muda Besut, Di Kota Putera, Besut, hari ini.
Khairy berkata, pihaknya akan menganjurkan forum itu dalam masa dua minggu lagi selepas beliau baru sahaja berbincang dengan beberapa tokoh termasuk Dr. Mohd Asri, bekas Mufti Perlis dan beberapa tokoh lain.
Dalam pada itu, pada sidang medianya itu juga, Khairy mahu tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan kekacauan ketika perhimpunan membantah GST di Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kota Putera, Mahadi Musa, Adun Jertih, Mohd Pehimi Yusof,, Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan, Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar dan Ketua Pergerakan Pemuda Terengganu, Johari Abu Bakar.
Sementara itu, pelbagai aktiviti diadakan sempena Jambori Orang Muda Besut yang diadakan itu, antaranya ialah pertunjukan silat, permainan wau, pertunjukan pemotoran, pertandingan bola jaring, pertandingan bola sepak dan cabutan nombor bertuah.

Gembira anak bebas dadah walau tidak ke universiti


BESUT – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri terengganu, Muhammad Pehimi Yusof terkejut apabila ada ibu bapa gembira walaupun anak mereka tidak berjaya memasuki universiti tetapi bebas daripada penagihan dadah.
Menurut Adun Jertih itu, keadaan tersebut menggambarkan masalah dadah semakin meruncing dalam masyarakat dan menular di mana-mana sahaja malah dianggap sebagai ancaman kepada anak muda.
Katanya, ada seorang bapa bertemunya memberitahu bersyukur kerana anaknya tidak terlibat dengan dadah dan kejayaan itu begitu besar maknanya walaupun anaknya tidak dapat memasuki universiti.
“Kalau beginilah pandangan masyarakat, ini menggambarkan masalah penagihan dadah terutama dadah sintetik seperti pil kuda serius dan dilaporkan turut membabitkan pelajar sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Daerah Besut ke-29 di Dewan Majlis Daerah Gong Kemuntong, di sini.
Hadir sama, Pengerusi Pemadam Besut yang juga Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.
Sehubungan itu, Muhammad Pehimi menggesa semua pihak termasuk pemimpin masyarakat mengambil peranan untuk mengatasi masalah penagihan dadah di kawasan masing-masing.

Friday, 3 May 2013

Selepas 123 tahun Belanda mempunyai Raja


Raja pertama Belanda selepas 123 tahun



LELAKI berusia 46 tahun itu merenung ke dalam mata bondanya. Tangan dua beranak itu kemudiannya bertaut dan memaparkan emosi meruntun jiwa. Tandatangan yang diturunkan Ratu Beatrix pada dokumen penurunan takhta itu disaksikan jutaan warga Belanda secara langsung di kaca televisyen.
Selepas 33 tahun menduduki takhta, Beatrix, 75, melepaskan kedudukan tertinggi monarki itu kepada putera sulungnya, Willem-Alexander. Peralihan takhta itu turut mencipta sejarah kepada Belanda yang kembali diterajui seorang raja selepas 123 tahun diperintah dua orang ratu.
"Saya dengan rasa gembira dan penuh syukur memperkenalkan raja baharu anda, Willem-Alexander," ujar Beatrix saat berdiri di balkoni diraja, Istana Diraja yang terletak di Dataran Dam, Amsterdam menghadap lebih 20,000 warga Belanda yang membanjiri pekarangan istana. Beatrix melepaskan takhtanya pada 30 April lalu.
"Hari ini, saya memberi laluan kepada generasi baharu," tambah Beatrix yang kini kembali memegang gelaran Puteri Beatrix.
Sejurus selepas pengumuman rasmi oleh Beatrix, asap berwarna oren memenuhi ruang udara pekarangan istana menandakan keraian menyambut pemasyhuran raja baharu telah bermula.
Beatrix hampir menitiskan air mata tatkala membuat kemunculan di balkoni diraja itu. Beliau turut disertai Willem-Alexander bersama isteri, Permaisuri Maxima Zorreguieta dan tiga anak perempuan mereka yang menyarungkan dres kuning sedondon.
"Bonda, hari ini anda menyerahkan takhta kepada saya. 33 tahun telah berlalu dan ia menjadi tahun-tahun yang penuh inspirasi. Kami amat berterima kasih kepada bonda," ucap Willem-Alexander selepas bondanya meninggalkan balkoni diraja.
Kali terakhir Belanda diperintah seorang raja ialah pada tahun 1890 di bawah teraju Raja William III. Kemudian, negara itu ditadbir di bawah monarki Ratu Wilhelmina (nenda Willem-Alexander) dan Ratu Beatrix.
Puteri sulung Willem-Alexander dan Maxima, Catharina-Amalia, 9, yang turut hadir ketika upacara itu secara rasmi menyandang gelaran Puteri Oren dan menjadi pewaris takhta utama mengikut giliran.
WILLEM-ALEXANDER dan isteri, Maxima Zorreguieta pasangan diraja baharu yang memerintah Belanda.


Willem-Alexander merupakan putera sulung daripada tiga adik-beradik. Adik keduanya, Putera Friso yang tidak lagi layak menduduki takhta Belanda atas keputusannya berkahwin dengan Mabel Wisse Smit pada tahun 2004, masih koma ekoran kemalangan ketika meluncur ski di Austria tahun lalu.
Bersifat terbuka
Adik bongsu Willem-Alexander, Putera Constantijn pula menetap di Brussels dan bekerja untuk Pesuruhjaya Kesatuan Eropah Belanda, Neelie Kroes, yang bertanggungjawab ke atas pengurusan telekomunikasi dan polisi teknologi 27 blok negara Eropah.
Sebagai raja baharu Belanda, Willem-Alexander yang pernah bertugas sebagai pakar pengurusan air dijangka bersifat lebih terbuka terhadap sistem monarki sedia ada.
Pada istiadat pemasyhuran yang berlangsung di De Nieuwe Kerk (New Church), Willem-Alexander dilihat memakai mantel diraja yang sama sejak monarki Belanda, Royal House of Orange-Nassau diasaskan pada tahun 1815.
Sejajar dengan tradisi, beliau tidak memakai mahkota yang hanya diletakkan di sampingnya sepanjang upacara tersebut. Disebabkan ketiadaan gereja persekutuan, tiada paderi yang layak menjalankan upacara kemahkotaan.
"Saya mahu membentuk hubungan dan menjadi contoh kepada penyatuan rakyat di negara ini," ujar raja termuda yang menaiki takhta Belanda itu pada istiadat pemasyhuran yang disiarkan secara rasmi di kaca televisyen.
"Sebagai raja, tugas saya adalah mengukuhkan jalinan kepercayaan antara rakyat dan kerajaan, mengekalkan demokrasi dan berkhidmat untuk rakyat jelata.
Bancian yang disiarkan baru-baru ini oleh sebuah stesen penyiaran negara itu, NOS menunjukkan populariti Willem-Alexander meningkat saat menaiki takhta. Imej relaks dan keyakinan tinggi yang ditunjukkan beliau dalam satu temu bual awal bulan lalu meningkatkan kepercayaan warga Belanda.
Willem-Alexander turut memberitahu, beliau bukan seorang yang cerewet tentang protokol.

WILLEM-Alexander dan Maxima muncul di balkoni Istana Diraja bersama anak-anak mereka. Dari kiri: Catharina-Amalia, Ariane dan Alexia.


Tambah beliau, acara melibatkan monarki terlalu bersifat simbolik dan ia perlu dijalankan dengan lebih ringkas.
Sehubungan dengan pemasyhuran Raja Willem-Alexander, bandar raya Amsterdam dibanjiri kira-kira 1 juta orang. Di samping mengalu-alukan monarki baharu itu, warga Belanda juga meraikan Hari Ratu yang disambut secara tahunan pada 30 April lalu.
Terusan-terusan popular di bandar raya itu dipenuhi ratusan bot dalam pelbagai bentuk dan saiz, kebanyakannya membawa penduduk negara itu yang girang berpesta.
Bendera dan panji-panji menarik menghiasi rumah-rumah di Belanda selama sehari. Peniaga pula meraih keuntungan sempena acara diraja itu dengan menjual kek oren, bunga dan pakaian.
Kedai-kedai cenderamata diisi penuh dengan barangan dan dekorasi berwarna oren, warna perlambangan keluarga diraja Belanda.
"Semua orang mesti memakai warna oren! Barangan paling laku ialah baju T, sweater dan selendang bulu," kata seorang peniaga, Elise daripada butik Janssens & Janssens.
Willem-Alexander telah lama berusaha bagi memenangi hati rakyat Belanda dan isterinya banyak membantu melonjakkan populariti beliau sejak mereka berkahwin pada tahun 2002.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2SCh15KHO 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, 2 May 2013

Tinggalkan kerjaya sebagai kontraktor dan menceburi bidang pertanian



Harga runcit bagi sekilogram (kg) rock melon gred A antara RM6 hingga RM9, manakala harga ladang antara RM3.40 hingga RM3.60 sekilogram.
PENANAMAN menggunakan kaedah atau teknologi fertigasi bukanlah perkara baru bagi golongan petani tempatan. Teknologi tersebut terbukti memberi anjakan baru kepada bidang pertanian dan mendapat sambutan memberangsangkan berikutan mudah dilaksanakan berbanding kaedah konvensional lain.
Selain mudah dan cepat, kaedah tersebut juga tidak memerlukan ruang yang luas kerana medium tanaman fertigasi hanya memerlukan sebuah beg plastik berisi medium dengan baja diagihkan melalui sistem pengairan
Sesuai dengan namanya fertigation digabungkan dengan pengairan iaitu irrigation dan pembajaan iaitu fertilizer yang disalurkan serentak kepada tanaman khususnya yang bernilai tinggi seperti rock melon dan tomato.
Melihat fertigasi sebagai kaedah yang mampu memberi keuntungan Shahrom Tumiran, 43, bertekad mengambil risiko dan menceburi bidang tanaman itu demi mendapatkan hasil berkualiti serta meningkatkan pencapaian dalam bidang pertanian.
Menurut anak kelahiran Bukit Kapar, Klang itu, memilih untuk bertukar dari tanaman menggunakan kaedah konvensional kepada fertigasi sejak 2006 ternyata tidak sia-sia apabila hasil tanaman serta keuntungan yang diperoleh berlipat kali ganda.
"Ketika masih menggunakan kaedah konvensional dahulu, saya sering berhadapan dengan masalah terutama dari aspek kawalan baja serta serangan rumput-rumpai.
"Namun, apabila menggunakan kaedah fertigasi ia mampu mengatasi masalah tersebut menerusi penggunaan baja yang dikawal dalam beg poli selain buah yang terhasil lebih bernilai tinggi kerana ditanam dan dikendalikan secara sistematik," katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada majlis penuaian buah fertigasi rock melon di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gombak dan Petaling baru-baru ini yang dihadiri Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Zainal Dahalan.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu sebelum ini pernah bekerja di sektor perkilangan selama tujuh tahun dan mempunyai lesen kontraktor kelas F sebelum menceburkan diri dalam bidang pertanian.
Dia kini sedang membangunkan tanaman rock melon varieti Glamour di atas tanah seluas 1.8 ekar di Sungai Plong, Kuala Selangor dan telah berjaya menuai sebanyak 4,700 biji buah tersebut pada 31 Januari lalu.
Menurutnya, kesemua rock melon itu mula ditanam pada 1 Disember dengan mensasarkan pengeluaran sebanyak lapan tan.
Tambahnya lagi, komitmen yang tinggi perlu dipupuk pada peringkat permulaan ketika baru mula menceburkan diri dalam bidang pertanian kerana dengan kesungguhan itu, bakal petani dapat menilai sendiri hasil yang akan diperolehi.
"Asas prinsip itu penting dan yang paling utama kita tidak perlu cemas atau bimbang untuk menjual hasil tanaman jika ia benar-benar berkualiti dan menepati ciri-ciri terbaik.
"Secara langsung juga Jabatan Pertanian akan memberikan bantuan dan tunjuk ajar kepada petani tentang cara-cara mengusahakan tanaman agar mengeluarkan produk lebih produktif," ujarnya lagi.
Sementara itu, menurut Zainal, projek tanaman rock melon di PPK Gombak dan Petaling merupakan projek yang dikembangkan hasil daripada kejayaan projek tersebut di PPK Klang.
Di kawasan tersebut katanya, seramai 11 orang peladang mengusahakan tanaman rock melon di kawasan seluas 11 ekar sekali gus mengikat kontrak perladangan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan beberapa syarikat pembeli lain.
Mengulas lanjut mengenai projek di PPK Gombak dan Petaling, beliau berkata, pengusaha telah memperoleh pendapatan lumayan dan menguntungkan dalam masa tiga pusingan tuaian.
"Kami berharap projek seumpama ini akan diperkembangkan lagi ke kawasan lain di sekitar PPK Gombak dan Petaling sekali gus dapat membantu peladang meningkatkan lagi tahap ekonomi dan pendapatan mereka.
"Justeru, LPP telah meluluskan peruntukkan RM200,000 bagi memperluaskan projek rock melon yang sedia ada.
"Di samping itu juga diharapkan pengusaha sedia ada dapat membantu bakal pengusaha yang akan melaksanakan projek tambahan tersebut sekali gus menjadi mentor kepada mereka dalam memastikan projek ini berjaya," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130415/ag_01/Tinggalkan-kerjaya-sebagai-kontraktor#ixzz2S0wBetVP
© Utusan Melayu (M) Bhd