Páginas

Thursday 17 September 2015

Imtiaz Kemaman Beroperasi Januari 2016

AUTHOR: MOHD SYAZNI ZAINUDIN 15 SEPTEMBER 2015

SMIYT Kemaman. Foto oleh Harish Fadzillah
*****
Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) Kemaman, Kijal akan menjadi sekolah imtiaz kedua yang beroperasi di bangunannya sendiri di Terengganu.


Sekolah yang dibangunkan dengan kos RM55.7 juta di kawasan berkeluasan 35 hektar sejak Mei 2012 mengambil masa tiga tahun sebelum siap dan diserahkan kepada Yayasan Terengganu (YT).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, SMIYT Kemaman menerapkan konsep berbeza dari SMIYT Besut kerana memiliki reka bentuk yang lebih futuristik.


Katanya, walaupun ia telah siap sepenuhnya, pengambilan pelajar hanya akan bermula pada sesi kemasukan Januari 2016.

“Kita akan mula beroperasi 100 peratus bermula awal tahun hadapan dengan pengambilan hanya 500 orang pelajar akan mendaftarkan diri kerana Imtiaz menekankan pada kualiti bukannya kuantiti.

“Pelajar yang sedang belajar di bangunan sementara yang terletak di Kolej Ketengah turut akan dipindahkan ke sini bermula Januari tahun hadapan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Bangunan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kemaman,Kijal, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin, Pengarah Yayasan Terengganu, Mohamad Sulong dan Ketua Penolong Pengarah Cawangan Pengurusan Aset Bersepadu dan Korporat JKR, Ir. Suhaili Mansor.

Pada majlis tersebut, dokumen penyerahan diserahkan oleh Suhaili kepada Mohamad.

Tambahnya, walaupun sekolah tersebut akan mula beroperasi pada tahun hadapan, ianya boleh dimulakan untuk kegunaan lain.

“Kelas-kelas insentif serta kursus akan dianjurkan untuk pelajar imtiaz di seluruh Terengganu disini bagi mengelakkan daripada ianya terbiar kosong tanpa digunakan sehingga mula beroperasi.

“Disamping itu, kita juga boleh menguji keupayaan asrama serta kualiti bangunan sepanjang ianya digunakan kerana jika ia dibiarkan begitu sahaja agak sukar untuk mengesan sebarang permasalahan pada struktur pembinaan tersebut,” katanya.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment