Páginas

Tuesday 14 October 2014

'Bukan DAP, PKR sahaja perintah Selangor'


 Mahfodz Mohamad
*****
KUALA LUMPUR 13 Okt. - Dewan Ulama Pas kesal dengan tindakan sekutunya, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang seperti menunjuk-nunjuk 'kemenangan mereka' apabila berjaya menganjurkan pesta minum arak, Oktoberfest di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Lebih dikesalkan jelas Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad ialah Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali tidak mengendahkan bantahan dilakukan oleh parti tersebut sebelum ini.

Tegasnya, bantahan Pas sewajarnya didengari oleh sekutu-sekutu parti itu memandangkan Selangor merupakan sebuah negeri pakatan pembangkang dan bukannya milik mutlak DAP dan PKR terutama apabila melibatkan soal sensitif seperti penganjuran pesta arak.

"Mereka kena patuhi budaya timur dan Islam yang tidak menggalakkan minum secara pesta sedangkan sebagai komponen pakatan, kita berikan bantahan. Pandangan daripada pihak ulama nampaknya tidak diendahkan pakatan pembangkang, lebih-lebih lagi oleh Menteri Besar baharu.

"Ini yang kita tidak puas hati, kita ada kuasa di Selangor, Menteri Besar pun beragama Islam dan Islam sebagai agama rasmi Malaysia jadi kenalah hormat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan beberapa pemimpin kanan DAP dan PKR hadir pada acara Oktoberfest di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya dekat sini kelmarin yang menunjukkan mereka seolah-olah tidak menghormati pendirian Pas yang membantah penganjuran pesta arak tersebut.

Mengulas lanjut, Mahfodz menjelaskan, Dewan Ulama akan mengkaji tindakan DAP dan PKR tersebut bagi memastikan perkara sama tidak berulang selepas ini dan seterusnya merumitkan lagi tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang.

"Kita mesti pastikan bahawa parti dalam pakatan pembangkang menunjukkan kerjasama bersama Pas, bukan antara PKR dan DAP sahaja. Benda tidak enak (pesta arak) jangan teruskan, kita ada persefahaman politik," katanya.

Utusan

No comments:

Post a Comment