Páginas

Sunday 12 October 2014

Peningkatan barangan dikecualikan GST bantu kurang kos hidup - Kajian

 PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Menteri Kewangan menunjukkan Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2015 selepas membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat, Parlimen di sini semalam. Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan. - Foto Khairull Azry Bidin
*****
KUALA LUMPUR: Pertambahan senarai barangan yang dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diumumkan dalam Bajet 2015 semalam akan membantu mengurangkan lagi kos hidup rakyat, kata UOB Research.
Firma penyelidikan itu dalam satu nota berkata, pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyediakan kejelasan kepada rakyat menjelang pelaksanaan cukai tersebut pada April 2015.

Jualan runcit petrol RON95, diesel dan gas asli cecair (LPG) juga dikecualikan daripada GST.

Bajet 2015 juga menaikkan bantuan tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi isi rumah pendapatan rendah daripada RM650 kepada RM950 tahun depan.

Meskipun BR1M yang tinggi, bil keseluruhan bagi subsidi dan serahan tunai kepada kumpulan pendapatan rendah dijangka turun kepada lebih tujuh peratus pada 2015 disebabkan kenaikan 10 peratus harga minyak bermula Oktober.

Kerajaan menganggarkan keuntungan hasil daripada GST pada 2015 hanya RM690 juta, selepas tolak kerugian hasil daripada cukai jualan dan perkhidmatan, pengecualian GST dan bantuan BR1M.

"Ini akan mengurangkan sumbangan hasil daripada GST pada peringkat pelaksanaan awal tetapi keadaan itu dijangka bertambah baik dalam tahun-tahun akan datang," kata UOB Research.

Sementara itu, Alliance DBS Research berkata pengurangan subsidi dan pelaksanaan GST tahun depan menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menggerakkan agenda pembaharuan fiskalnya.

"Tetapi kita perlukan penjelasan yang lebih jelas tentang mekanisme baharu untuk menyediakan subsidi petrol dengan lebih efektif, dan menangani banyak bahagian kurang jelas dalam GST sebelum pelaksanaannya," kata firma penyelidikan itu.

Ia berkata, cadangan kerajaan untuk mengurangkan cukai pendapatan individu sebanyak satu hingga tiga mata peratusan bermula 2015, dan bukannya 2016, adalah suatu yang positif bagi sektor pengguna yang menerima kesan daripada kelemahan sentimen pengguna.

Cadangan itu akan membantu mengurangkan kesan inflasi tolakan kos dan GST bagi pendapatan boleh guna isi rumah.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment