Páginas

Sunday 12 October 2014

'Terus istiqamah' cara Pas

 Poster pesta arak Oktober Fest yang dipasang di Taman Bekeley Klang, Selangor.
*****
EPISOD politik di Selangor terus me-nyaksikan babak-babak menarik melibatkan tiga parti dalam pakatan pembangkang yang disatukan atas nama tahaluf siyasi iaitu Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Selepas krisis jawatan Menteri Besar yang tercetus akibat 'Langkah Kajang' ciptaan PKR, kini satu lagi isu melanda Selangor iaitu pesta arak yang dijadual berlangsung hari ini hingga Ahad.
Dalam isu pesta arak itu, PKR mendiamkan diri apabila Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali tidak mahu memberikan sebarang ulasan, DAP melalui exconya bertegas ia boleh dilaksanakan jika menepati syarat-syarat pihak berkuasa tempatan (PBT) manakala Pas menentang habis-habisan.

Tetapi apa yang menarik untuk diperkatakan bagaimana seolah-olah tidak ada sensitiviti untuk menjaga hati Pas apabila PKR dan DAP tidak menentang penganjuran pesta itu manakala ada pemimpin Pas meng-anggap pesta tersebut tidak boleh dihalang memandangkan Malaysia sebuah negara majmuk.

Justeru yang terpekik terlolong menentang penganjuran pesta berkenaan hanyalah puak-puak ulama dalam Pas melalui Dewan Ulama dan kelmarin sekumpulan pemimpin Pas diketuai Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dengan ditemani Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Dr. Mohd.Khairuddin Aman Razali menye-rahkan memorandum bantahan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Mungkin itu sahaja kemampuan Pas dalam berhadapan dengan kerenah pentadbiran dalam kerajaan negeri Selangor yang turut disertai oleh PKR dan DAP. Tetapi apa yang lebih penting untuk diperkatakan ialah bagaimana sekali lagi ia membuktikan pera-saan hormat kepada Pas sebagai parti Islam semakin terhakis.

Pas terus dilayan dalam pakatan pembangkang bagaikan parti yang tidak ada apa-apa kuasa dan kekuatan. Ia bertambah parah apabila dalam Pas sendiri tidak sekata dalam membantah penganjuran pesta itu.

Situasi Pas lebih perit apabila dalam masa yang sama tercetus pula isu pemecatan Iszuree Ibrahim sebagai ahli jawatankuasa tetap dalam Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). Tanpa mempedulikan hak kebebasan untuk bersuara dan memberi pandangan, Iszuree dengan dipersetujui oleh kepimpinan Pas Pulau Pinang dipaksa memohon maaf atau bersedia kehilangan jawatan dalam MPPP.

Inilah amalan demokrasi dan pendekatan politik dalam pakatan pembangkang, hanya PKR dan DAP yang menentukan segala-galanya manakala Pas pula sekadar 'pak turut' yang mahu tidak mahu harus mengikut kehendak mereka.

Kasihan Pas, biar pun Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah bersuara lantang di muktamar tahunan parti itu baru-baru ini di Batu Pahat, Johor tetapi ia ternyata tidak menggerunkan PKR dan DAP.

Pas tetap dilayan bagaikan 'melukut di tepi gantang', tiada penghormatan, tiada tolak ansur. Atas sebab itulah Pas terpaksa mengharungi kegelojohan politik PKR dan DAP walaupun ia boleh mendatangkan kesan buruk kepada Pas.

Persoalannya, sampai bilakah Pas harus membiarkan situasi ini berlaku? Rakyat khususnya orang Melayu tertanya-tanya Pas bukannya sebuah parti yang 'pekak, bisu atau buta' untuk menilai situasi. Dari semasa ke semasa, mereka sudah menge-tahui secara mendalam wajah sebenar PKR dan DAP, tetapi kenapakah mereka masih mahu lagi mempertahankan tahaluf siyasi dengan kedua-dua parti itu.

Kalau sekadar menghantar memorandum, membuat kenyataan dalam laman-laman sosial termasuk facebook dan twitter ia sama sekali tidak akan menjadi 'kudis' kepada PKR dan DAP, sebaliknya apa yang kita saksikan pemimpin-pemimpin kedua-dua parti itu semakin berani memperlekehkan kepimpinan Pas, malah parti Pas itu sendiri dianggap dengan sewenang-wenangnya dituduh oleh pemimpin DAP bersikap 'talam dua muka' dalam pakatan pembangkang.

Sememangnya penulis 'kagum' dengan ketabahan dan kesabaran kepimpinan Pas dalam berhadapan dengan kerenah politik PKR dan DAP. Entah apa yang ada dalam pemikiran politik mereka sehingga sanggup membiarkan Pas dilayan bagaikan sebuah parti yang tidak bermaruah.

Keadaan itu sudah menampakkan de-ngan jelas bahawa orang Melayu dan umat Islam tidak boleh bergantung kepada Pas untuk mempertahankan hak mereka. Pas terlalu takut dengan PKR dan DAP. Suara-suara yang menentang kebiadaban berpolitik kedua-dua parti itu tidaklah selantang mana, itu pun hanya diluahkan oleh beberapa kerat pemimpin Pas yang mahu mempertahankan perjuangan Islam parti tersebut.

Justeru harapan untuk melihat Pas bertindak lebih tegas untuk mempertahankan maruah mereka hanya sekadar satu impian yang tidak akan kesampaian. Pas sudah hilang jati diri, Pas sudah semakin terhakis keberaniannya dan Pas sudah pupus kelantangannya.

Jati diri Pas kini bergantung sejauh mana mereka mampu menahan asakan PKR dan DAP, keberanian Pas bergantung sejauh manakah mereka bersedia menyanggah pemimpin kedua-dua parti itu dan kelantangan Pas pula ibarat orang yang menjerit keseorangan di dalam gua - tiada siapa peduli, tiada siapa ambil kisah!

Soalnya, kenapakah kepimpinan Pas sanggup membiarkan semua itu berlaku? Kenapakah hanya golongan ulama sahaja dilihat tegas? Kenapakah tiada keputusan yang benar-benar berani dibuat oleh Pas?

Penyokong-penyokong Pas perlu terima hakikat begitulah nasib parti yang mereka sayangi. Daripada sebuah parti yang ditubuhkan oleh golongan ulama sehingga satu peringkat mencapai rekod pencapaian pilihan raya yang cukup menggerunkan lawan-lawan politiknya, kini Pas tidak ubah sebuah parti yang mengemis untuk mendapat kuasa.

Seperti mana sudah ditegaskan berkali-kali adalah menjadi hak Pas bertahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang kalau merasakan ia boleh mendatangkan keuntungan politik jangka panjang kepada mereka, tetapi fikirkanlah apa yang sedang dilakukan oleh PKR dan DAP terhadap parti tersebut.

Bermuhasabah dan bermunajatlah memohon hidayah Allah SWT untuk mendapat jawapan apakah benar PKR dan DAP menghormati pemimpin Pas? Apakah benar PKR dan DAP akan merestui perjuangan Islam Pas? Apakah mungkin PKR dan DAP akan mengizinkan Pas menjadi dominan dalam kerjasama pakatan pembangkang?

Setakat ini berdasarkan per-kembangan politik semasa, Pas tidak pernah dihormati oleh kedua-dua parti itu, perjuang-an Islam tidak pernah direstui oleh PKR dan DAP serta sudah pasti mereka juga sama sekali tidak akan membenarkan Pas dominan dalam pakatan pembangkang.

Oleh itu, apa lagi yang Pas tunggu dan harapkan melalui tahaluf siyasi? Apakah kerana memburu kuasa politik Pas bersedia menggadaikan maruahnya? Apakah kerana mahukan kedudukan Pas rela martabatnya sebagai sebuah parti Islam diperkotak-katikkan? Apakah kerana mahu menjaga semangat setiakawan Pas bersedia membiarkan PKR dan DAP melakukan apa sahaja biarpun ia bertentangan dengan prinsip perjuangan Islam Pas?

Penulis sebenarnya tidak mengharapkan apa-apa daripada kepimpinan Pas. Ia memandangkan sejarah politik sudah membuktikan kelantangan Pas hanya sementara, keberanian Pas sentiasa bertempat dan keyakinan Pas mudah dilunturkan.

Segala-galanya kerana Pas ingin 'Terus Istiqamah' untuk bersama-sama pakatan pembangkang kerana istiqamah parti itu ialah menawan Putrajaya bersama-sama PKR dan DAP, bukannya memperjuangkan Islam seperti mana yang diuar-uarkan oleh parti itu selama ini.

Utusan Online

No comments:

Post a Comment