Páginas

Wednesday, 1 October 2014

Rencana Pilihan: Segala-galanya tentang orang Melayu

Oleh Ram Al Jaffri Saad
BARU-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan orang Melayu yang dikatakan malas. Pelbagai reaksi boleh dilihat setelah kenyataan itu dilaporkan dalam media massa. Ada yang bersetuju dan ada pula yang tidak bersetuju.

Bagi yang bersetuju, mereka mungkin berpandangan bahawa banyak sudah bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh pihak bertanggungjawab kepada orang Melayu. Namun, secara keseluruhannya pencapaian Melayu dalam pelbagai bidang masih ketinggalan jauh berbanding bangsa lain.
Sebagai contoh, dalam hal pegangan ekuiti Melayu dalam ekonomi negara yang masih tidak mencapai sasaran seperti yang ditetapkan di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Jumlah orang Melayu yang menjadi usahawan juga masih tidak ramai jika dibandingkan dengan bangsa lain.

Sebaliknya, bagi golongan yang tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut, mereka mempertahankan bahawa orang Melayu telah banyak berubah berbanding dahulu. Taraf hidup orang Melayu juga telah meningkat. Bilangan sarjana dan cerdik pandai Melayu juga mencatatkan peningkatan setahun demi setahun. Justeru, untuk mengatakan bahawa Melayu malas dirasakan kurang tepat bagi mereka.

Ada rakan yang menceritakan pengalaman beliau ke bengkel kereta yang dimiliki oleh bangsa lain. Mekanik itu berasa agak terkejut apabila beliau mengetahui tuan empunya kereta itu orang Melayu. Selama ini dia menjangkakan tidak ada orang Melayu mampu memiliki kereta seperti itu.

Bagi penulis sendiri, sifat malas adalah sifat umum yang ada pada setiap manusia. Untuk mengatakan bahawa hanya Melayu sahaja yang malas adalah kurang tepat. Namun jika dikatakan ada dalam kalangan orang Melayu yang malas agak lebih adil dan terbuka.

Walau bagaimanapun, kenyataan bekas Perdana Menteri itu harus dinilai dari sudut yang positif. Jadikannya sebagai iktibar untuk kita terus bekerja kuat demi kejayaan pada masa depan.

Tidak lama selepas kenyataan tersebut, keluar pula kenyataan yang mendakwa Melayu tidak mahir dalam pengurusan kewangan. Kenyataan ini dikeluarkan setelah kajian dilakukan dan didapati bahawa Melayu lemah dalam hal kewangan peribadi.

Kenyataan ini mungkin ada asasnya. Jika dilihat kepada statistik orang yang diisytihar muflis, golongan mana yang paling ramai? Ini tidak termasuk lagi sebab utama yang menyebabkan usahawan Melayu gagal dalam perniagaan mereka.

Justeru, apa yang perlu dilakukan? Jika kita tahu orang Melayu lemah dalam pengurusan kewangan, usaha perlu dibuat bagi meningkatkan pengetahuan mereka berkenaan hal ini.

Sebagai contoh, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi kerajaan perlu mengadakan kelas khas kepada golongan dewasa Melayu mengenai pengurusan kewangan. Subjek khas pengurusan kewangan wajar diwujudkan dan diajar di peringkat sekolah menengah lagi.

Usaha-usaha seperti ini dirasakan dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang Melayu terhadap pengurusan kewangan. Ilmu yang diperolehi kemudiaannya boleh dipraktis dalam kehidupan sebenar.

Berita tentang Melayu tidak berakhir dengan cerita ini sahaja. Ada kejutan yang menggemparkan telah berlaku dalam sejarah orang Melayu beberapa hari lalu.

Kisahnya berkaitan dengan seorang pelajar Melayu yang berjaya menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) pada usia muda. Dikhabarkan beliau baru berusia 24 tahun, sudah lulus dengan jayanya pengajian peringkat PhD dalam bidang Matematik.

Kejayaan pelajar ini patut dibanggakan oleh semua pihak. Beliau seolah-olah bertindak sebagai jawapan kepada setiap komen tentang Melayu. Setidak-tidaknya beliau telah menjadi hero dalam menjawab kepada persoalan adakah benar orang Melayu malas dan tidak mahir?

Penulis amat kagum dengan kejayaan pelajar ini. Ini kerana penulis tahu bukan mudah untuk mencipta kejayaan di peringkat tertinggi dalam sistem pengajian yang ada sekarang pada usia yang muda.

Ini telah membuktikan bahawa orang Melayu jika diberi peluang dan galakkan untuk berjaya, tidak mustahil bagi mereka untuk melakukannya. Orang Melayu dikurniakan dengan nikmat Islam yang terlalu besar dan sejahtera. Inilah yang menjadikan orang Melayu hebat dan terbaik.

Berdasarkan tiga senario di atas, dapatlah disimpulkan bahawa orang Melayu menghadapi pelbagai isu dan cabaran semasa yang harus ditempuh dengan berani dan gagah. Kekuatan dalaman dan keunggulan dalam setiap diri orang Melayu Islam perlu terus diperkasakan.

Pelbagai ancaman dan cabaran yang silih berganti datang harus didepani dengan semangat dan ilmu pengetahuan. Tanpa ilmu dan usaha kita tidak akan ke mana-mana.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia

Utusan Online

No comments:

Post a Comment