Páginas

Tuesday, 29 November 2016

Ibu Pejabat Baharu UMNO Pembakar Semangat Anggota Parti


KUALA LUMPUR, 29 Nov – Pembinaan Pusat Dagangan Dunia KL Putra (KL PWTC) yang bakal menjadi ibu pejabat baharu UMNO diharap akan menjadi pembakar semangat anggota parti untuk terus berjuang demi bangsa, agama dan negara.

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak berkata roh UMNO adalah tunjang kepada bangunan itu yang mana setiap butir tanah dan lapisan dinding terbina atas keringat serta air mata anggota bersama pemimpinnya.
“Ia adalah lambang kesetiaan, keikhlasan dan semangat anggota UMNO dalam memartabatkan perjuangan orang Melayu. Ini adalah hari bersejarah buat kita pewaris pimpinan UMNO,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah pembangunan KL PWTC di sini hari ini.

Menurut perdana menteri bangunan menara setinggi 70 tingkat itu dibangunkan sempena 70 tahun usia UMNO dan kerja-kerja fizikal dijadual akan dimulakan pada 11 Mei 2017 bersempena tarikh kelahiran UMNO.

Najib berkata mercu tanda ikonik Kuala Lumpur itu akan menampilkan persekitaran bersepadu merangkumi hotel, pejabat 70 tingkat dan dewan baharu selain sebuah masjid yang boleh menampung sebanyak 5,000 jemaah.

Najib berkata dengan pembinaan ibu pejabat baharu itu, Dewan Tun Razak sedia ada akan dijadikan dewan dua tingkat manakala Dewan Merdeka, Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail dinaik taraf sebagai pusat urusan perniagaan setempat serta acara korporat.

Menurut beliau tema seni bina projek transformasi itu diilhamkan daripada pakaian tradisional Melayu yang diambil daripada corak dan lipatan unik pada samping, lok keris serta ukiran hulu keris.

“Ia adalah lambang kesetiaan, keikhlasan dan semangat anggota UMNO dalam memartabatkan perjuangan orang Melayu,” katanya.

Mengimbau sejarah Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sekarang, Najib berkata bangunan yang berdiri kukuh sejak 31 tahun lalu itu menjadi saksi kepada kegembiraan, suka dan duka UMNO terutama semasa berlangsungnya persidangan.

“Kita ketawa, kita menangis, kita berhujah, kita berkongsi pandangan, kita berlainan pendapat, kita berdebat. Dinding, lantai dan bumbung Dewan Merdeka mencerap jutaan cerita kisah perjuangan UMNO dalam membela anak bangsanya,” katanya.

UMNO Online/MJ

No comments:

Post a Comment