Páginas

Monday 21 November 2016

Hentikan Amalan Keluarkan Amaran Pentadbiran - KSN

Noraini Jusoh  Sunday, November 20, 2016


Semua ketua jabatan diminta menghentikan amalan mengeluarkan amaran pentadbiran kepada kakitangan yang mempunyai masalah displin berikutan tidak memberi sebarang implikasi kepada penjawat awam.


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, mengikut pekeliling hukuman tatatertib adalah bermula dari diberi amaran sehingga tindakan buang kerja tetapi tidak ada amaran pentadbiran.

 “Amaran secara pentadbiran bukan hukuman. Tetapi jika dikeluarkan amaran pula, seseorang penjawat awam itu tidak dapat kenaikan gaji serta peluang kenaikan pangkat untuk tempoh setahun.

“Sebenarnya, amaran secara pentadbiran sebelum ini banyak digunapakai oleh pegawai terhadap kakitangan bawahannya supaya dianggap ketua yang baik.

“Hakikatnya dalam peraturan tatatertib tidak ada amaran secara pentadbiran tetapi perkara itu telah menjadi amalan di kalangan penjawat awam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Khas Penjawat Awam Negeri Terengganu Bersama Ketua Setiausaha Negara di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Dato’ Azih Muda dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Dato’ Mohtar Mohd Abd Rahman.

Sementara itu Ali berkata, beliau yakin majoriti penjawat awam menjalankan tugas dengan amanah, jujur dan berintegriti.

Menurut beliau, jumlah penjawat awam yang terbabit dengan kes rasuah contohnya semakin berkurangan daripada hampir 200 orang pada tahun 2013 kepada 120 orang pada 2015.

 “Terdapat peribahasa Melayu, ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’. Dalam konteks yang berlaku sekarang, saya ingin menegaskan bahawa saya tidak percaya bahawa majoriti penjawat awam menyokong tindakan penyelewengan mereka (penjawat awam) yang disiasat.

“Hanya disebabkan tindakan segelintir penjawat awam yang bertindak di luar batas undang-undang, ia tidak membawa maksud seluruh penjawat awam berkelakukan sedemikian.

Dalam perkembangan lain, beliau juga meminta penjawat awam di semua peringkat mengamalkan konsep ‘multitasking’ dalam menjalankan tugas seharian.

MJ

No comments:

Post a Comment