1. Segala puji hanya milik ALLAH SWT. Tuhan seluruh alam. Selawat dan salam kesejahteraan ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, para sahabat, para tabiin dan ulama, serta kita semua. Mudah-mudahan pada malam ini kita akan dilimpahi dan diliputi ihsan sehingga ke akhir hayat.
2. "Kehidupan di alam ini ialah ladang akhirat; agama tidak dimanfaatkan melainkan dengan kehidupan dunia; kuasa dan agama (al-din wa al-dawlah) tidak boleh dipisahkan. Agama adalah pohon asas dan kuasa ialah payung pelindung; apa-apa yang tidak mempunyai asas akan musnah; apa-apa yang tidak mempunyai pelindung akan lenyap. Hak milik dan kawalan tidak tercapai kecuali melalui kuasa ".
3. Bait-bait petikan pemikiran Imam Al-Ghazali yang saya ungkapkan sebentar tadi menyatakan dengan penuh kesedaran betapa kehidupan di muka bumi ini, bukanlah sekadar untuk mengisi batas waktu, ruang, dan peluang yang dianugerahi Allah SWT kepada kita. Ianya menjangkau lebih jauh kepada soal amanah dan taqlif sebagai seorang insan pilihanNya.
4. Malam ini merupakan suatu malam yang sangat bermakna buat saya. Bermakna kerana saya dapat berdiri dengan penuh keinsafan dalam dewan yang keramat ini di hadapan semua perwakilan UMNO daripada sayap Wanita, Pemuda dan Puteri yang datang dari segenap pelosok tanah air.
5. Namun, sebelum saya terus menuturkan bait-bait bicara, ingin saya rakamkan jutaan terima kasih kepada Presiden UMNO YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan seluruh jajaran Majlis Tertinggi UMNO atas kepercayaan memberikan saya amanah dan tanggungjawab untuk menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO hingga membolehkan saya dapat bersama saudara-saudari sekalian dalam majlis yang penuh tradisi ini.
6. Sesungguhnya, saya tidak pernah menganggap ini sebagai 'ghanimah' untuk kepentingan diri. Tetapi ini adalah suatu ujian untuk menilai kesetiaan saya kepada tuan nakhoda bahtera UMNO ini. Saya berjanji akan terus berdiri di belakang tuan nakhoda untuk memudik pelayaran bahtera ini menerjah samudera ke sebuah pulau kemenangan. Inilah janji Zahid Hamidi.
7. Janji saya bukan janji Niccolo Machiavelli yang berbeza antara lafaz di bibir dengan niat sebenar di hati; tetapi janji saya mengikuti sepenuhnya janji penjunjung ajaran para Rasul dan Anbia.
PENDEWASAAN MELALUI SEJARAH
Perwakilan sekalian, Malam ini, kelainan saya kerana pemakaian baju Melayu rasmi Pemuda UMNO zaman saya dahulu. Ini bukanlah bermakna saya membuang tabiat atau jauh sekali kehabisan baju, tetapi saya sengaja memakainya sesudah lebih 20 tahun saya tidak berpakaian seumpama ini. Saya masih ingat kali terakhir adalah pada tahun 1998. Alhamdulillah, Kak Midah isteri saya yang saya kasihi, masih mampu tersenyum tatkala saya mengenakan pakaian ini sebentar tadi maknanya saya masih segak seperti dahulu!
8. Namun, apa yang penting, saya pernah berdiri di sini memakai baju Melayu putih bersama dengan pemimpin muda yang berjiwa besar. Saya juga tidak boleh lupa, betapa mereka berkumpul untuk mendengar amanat saya sebagai Ketua Pemuda UMNO ketika itu. Saya juga tidak akan lupa bagaimana mereka telah memberikan tepukan yang gemuruh menggamatkan dewan ini. Itulah semangat jiwa kepemudaan.
9. Pengalaman dalam UMNO membolehkan saya melihat bagaimana sumbangan UMNO kepada bangsa Melayu dan rakyat negara ini seluruhnya. Perjalanan politik negara ini menyedarkan saya bahawa Sunnatullah Bumi bertuah ini didiami oleh pelbagai kaum, bangsa, agama, budaya dan adat resam.
10. Sedikit pengalaman saya yang merangkak dari cuma sebagai ahli biasa cawangan, Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Cawangan yang dilantik, Ketua Pemuda Cawangan, Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian, Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Ahli Majlis Tertinggi dan Naib Presiden. Sesungguhnya, saya tidak pernah dipayung terjunkan. Pengalaman kecil ini benar-benar menginsafkan saya.
11. Kita harus insaf dan sedar dengan liku-liku perjalanan panjang sebagai orang politik. Dalam mengimbau kejayaan yang dibawa oleh UMNO kepada negara ini, sesungguhnya kejayaan tidak datang bergolek. Tiada siapa pun yang boleh menafikan jasa UMNO kepada kebahagiaan rakyat negara ini sejak merdeka lagi.
Malah, dengan kepimpinan UMNO lah, negara ini menjadi satu-satunya negara Islam moden yang paling lama dan tidak pernah terputus sistem demokrasinya!!. Hampir 60 tahun.
12. Namun begitu, kita tidak boleh lupa dan alpa. Jiwa kita perlu kental serta sebati dengan parti yang bersejarah dan berjasa ini. Kita perlu sentiasa menghargai sumbangan UMNO dalam memperjuangkan nasib orang Melayu.
Kita tidak perlu bernostalgia, tetapi ianya merupakan suatu realiti.
13. Selagi darah merah UMNO sentiasa mengalir dalam tubuh kita, dicincang sekalipun kita tetap berdarah UMNO. Yang penting, kita setia kepada parti dan tidak akan mengkhianati UMNO serta perjuangannya yang sudah mendarah-daging dalam diri kita hingga menjadi institusi politik penting di negara ini.
14. Pemimpin UMNO sejak dahulu sehingga sekarang telah membawa negara ke arah yang lebih gemilang dan dihormati di seluruh dunia. Kesungguhan YAB Datuk Seri Najib untuk membawa negara ke mercu kecemerlangan dengan pelbagai transformasi untuk kesejahteraan rakyat perlu digalas, disokong dan didukung oleh semua.
15. Seperti Sayyidina Ali karramallahu wajhah yang taat setia menyokong ketiga-tiga khalifah yang memimpin umat Islam terdahulu: Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, Sayyidina Umar Al-Khattab dan Sayyidina Uthman Affan radiallahum. Marilah kita bersama-sama berdiri teguh dan memberi sokongan sepenuh hati dalam membantu presiden untuk menentukan kesinambungan kepimpinan bagi mencemerlangkan parti, kerajaan dan negara.
CABARAN 1: MENDEPANI POLITIK NEGARA
Perwakilan sekalian,
16. Sesungguhnya kejayaan negara bukan sahaja dicemburui oleh pihak luar tetapi juga dari dalam. Mereka sedar hanya Malaysia satu-satunya negara di dunia yang maju, aman dan sejahtera yang dipimpin oleh kepimpinanan Islam yang bergandingan dengan bangsa yang terdiri daripada pelbagai agama. Semua agama utama dunia terdapat di negara ini: Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain.
17. Keadaan ini ternyata telah mencetuskan rasa kecemburuan sehingga mereka merencanakan pelbagai asakan terhadap pemimpin parti dan kerajaan. Mereka tidak akan puas selagi tidak melihat negara ini menjadi huru-hara, tersungkur dan rakyat menderita.
18. Mereka akan mencipta pelbagai jalan cerita untuk menghancurkan pemimpin UMNO. Mereka juga mencipta 'story board' (jalan cerita)' dalam membentuk 'perception terrorism' (persepsi terrorisme) sepanjang masa bagi menghilangkan kepercayaan terhadap pemimpin dan banyak institusi yang menjadi tunjang kepada kemakmuran negara ini.
Pasti saudara-saudari pernah mendengar tentang Adolf Hitler, pemimpin Nazi Jerman yang telah membunuh jutaan orang Yahudi, ketika Perang Dunia Kedua. Sebenarnya, kejayaan beliau terhasil daripada strategi propaganda yang cukup berkesan yang diasaskan pada pembohongan.
19. Beliau dibantu oleh menteri propagandanya bernama Joseph Goebbels. Hitler pernah menulis bahawa: "If you are going to tell a lie, tell a big one and if you tell it often enough, people will begin to believe it." (Jika kamu mahu berbohong, buatlah banyak-banyak pembohongan, dan jika kamu kerap mengulanginya, orang akan mempercayainya).
20. Melalui propaganda radio dan filem yang kreatif, mereka berjaya mengawal pemikiran lebih daripada 80 juta orang. Namun, akhirnya Allah SWT telah memperkuatkan musuh-musuh mereka maka kekuasaan serta pengaruhnya hancur lebur. Hitler akhirnya membunuh diri. Goebbels dan isterinya juga membunuh diri bersama-sama enam anak mereka yang diracun olehnya sendiri dengan racun cyanide (sianida).
21. Plot pembangkang di negara ini juga seakan hampir sama. Mereka menggula-gulakan rakyat dengan propaganda mereka bahawa negara ini akan bankrap serta pelbagai lagi dakwaan dan cerita-cerita palsu yang digembar-gemburkan.
22. Sesungguhnya, kita seharusnya merasa risau dan gayat apabila melihat perubahan seperti ini yang berlaku kepada masyarakat kita. Perubahan yang bukan sahaja melibatkan perubahan strata sosial malah lebih membimbangkan kita ialah perubahan dari segi pola dan kecenderungan pemikiran rakyat yang menjurus kepada timbulnya budaya politik kebencian (hatred politics).
CABARAN 2: ANCAMAN LIBERALISME DAN PENTAFSIRAN DEMOKRASI
Sidang perwakilan sekalian,
23. Dewasa ini, fahaman liberal semakin mencengkam dan kian menghantui generasi pasca modenisme. Aliran pemikiran mereka sedikit demi sedikit menjadi begitu songsang dan mengelirukan. Pemikiran mereka tampak jelas miskin dan sungguh bercelaru. Menurut sarjana Islam tersohor, Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, situasi ini sebagai sindrom kefasadan pemikiran.
24. Kita yang berada dalam UMNO perlu membantu rakyat untuk mentafsir semula erti demokrasi. Saya pernah melontarkan persoalan ini sewaktu dalam majlis perasmian mesyuarat UMNO bahagian-bahagian yang lepas dan malam ini saya akan laungkannya sekali lagi bahawa UMNO perlu membantu rakyat mentafsir semula erti demokrasi.
25. Demokrasi politik seharusnya diterjemahkan melalui proses pilihan raya. Parti mana yang menang maka parti itulah yang sah memerintah negara, tetapi sekarang tidak lagi. Demokrasi kini dipadankan dengan demonstrasi. Bagi mereka, berdemonstrasi dianggap sebagai parameter kepada demokrasi. Sesiapa yang menentang amalan demonstrasi, maka mereka dianggap sebagai tidak demokratik.
26. Sewaktu di kampus dahulu, saya turut memimpin demonstrasi. Ketika itu pemimpin mahasiswa berdemonstrasi untuk menjuarai isu-isu rakyat dan membalingkan harapan agar kerajaan mendepani permasalahan tersebut untuk diselesaikan. Kami tiada langsung berniat untuk menggulingkan kuasa pemerintah. Kini demonstrasi bertujuan sebaliknya.
27. Justeru, tindakan demonstrasi sekarang lebih bersifat meruntuh, menghancur dan konfrontasional. Lebih parah lagi, demokrasi juga ditafsirkan sebagai kebebasan mutlak termasuk dalam penerimaan bantuan hatta daripada organisasi asing sekali pun.
28. Saya ingin berpesan, wahai mereka yang di sebelah sana, beringat-ingatlah, berpada-padalah, selagi anak Bagan Datoh ini diberikan mandat menakhodai Kementerian Dalam Negeri, saya tidak akan sesekali lalai untuk meneroponginya, saya tidak akan jemu-jemu untuk mencari ubat penyembuhnya, dengan berlaku adil, demi sebuah negara yang sejahtera.
29. Dan ingatlah, semua negara yang diruntuhkan kepimpinan dan kedaulatannya melalui gerakan massa jalanan seperti melalui pakej The Colour Revolution akan menatijahkan sesuatu yang amat dahsyat dan buruk sekali yang mungkin tidak termimpi oleh kita semua.
30. Tahukah kita bahawa demonstrasi jalanan disusun begitu rapi sebagai permulaan orang dalam negara untuk menjatuhkan kerajaan? Orang dalam yang menerima arahan dan pembiayaan dari luar. Orang dalam inilah yang akhirnya akan menjadi boneka pemerintahan baharu. Mereka ini ibarat memagar kelapa condong, buahnya jatuh di ladang orang!
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment