Páginas

Tuesday 22 November 2016

Sidang DUN : Penambahbaikan Pengambilan TCS Baharu

Aida Abd Rahman  Tuesday, November 22, 2016


Kerajaan negeri diminta supaya menimbangkan pengambilan pegawai tadbir negeri Terengganu (TCS) yang baharu dengan menggunapakai strategi dan formula yang lebih mantap.


Penambahbaikan yang berterusan terhadap penjawat awam juga sebagaimana amalan biasa negara maju lain seperti Jepun dalam usaha melahirkan kakitangan yang cekap.

Wakil BN-Air Puteh, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, antara strateginya adalah mewujudkan kategori kumpulan berprestasi tinggi kepada pegawai yang bakal memegang jawatan penting dalam kerajaan seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, berasaskan kursus-kursus profesional seperti perundangan, kejuruteraan, perakaunan dan perundangan.

Katanya, bagi pegawai-pegawai lainnya boleh dikategorikan dalam pengurusan dan pengurusan awam berasaskan kursus-kursus yang lain.

“Tambahan kriteria kumpulan ini adalah keupayaan kognitif, keupayaan berfikir secara langsung berbeza dengan kecerdesan intelek. Saya teruja dengan penjelasan YAB Menteri Besar tentang fellow management, sekarang ini kita mempunyai tujuh felo yang melalui proses sebegini dan banyak membantu kerajaan dan juga `backbenchers' sendiri dan juga bahagian lain dalam kerajaan.

“Satu generasi baharu, `future TCS', berdasarkan  pengambilan kerja yang cukup ketat, keupayaan kognitif, kepimpinan tradisi, keupayaan menguasai bahasa Inggeris yang baik dan boleh diserapkan apabila mengambil pegawai dalam kumpulan berprestasi tinggi,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari kedua, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, untuk pegawai yang dalam perkhidmatan pula, mereka perlu menjalani latihan berterusan melalui kursus jangka pendek dalaman serta luaran menerusi strategi yang konklusif.

“Mungkin juga dapat dikenalpasti kumpulan pegawai berpotensi `high flyer’ dan bakal menduduki kerusi tertinggi dalam negeri dihantar melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dalam pelbagai bidang seperti pengurusan dan perniagaan.

“Semua ini bertujuan untuk memastikan penjawat awam cukup terlatih dan bersedia menghadapi apa sahaja cabaran pengurusan terkini,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Hakim kesal dengan sikap wakil pembangkang (Dr Alias Razak) Pas- Bukit Tunggal, yang memutarbelitkan kenyataan beliau ketika sesi perbahasan itu, seolah-olah menghina penjawat awam dan menggambarkan pegawai kerajaan yang ada kini tidak bagus.

“Adakah apabila kita melakukan penambaikan berterusan itu menunjukkan semua itu teruk dan jahat. Negara berkembang..persaingan makin banyak jadi kita memerlukan ilmu-ilmu yang baru dan pengurusan yang baru supaya pegawai kerajaan semakin mantap. Pegawai kerajaan menjadi tulang belakang kerajaan dan negara. Mestilah kita hendak menghasilkan sesuatu yang terbaik. Apa guna kita laksanakan Negeri Anjung Ilmu sediakan bajet RM42.6 juta. Untuk menaikkan pendidikan negeri, takkan semua itu (sebelum ini ) teruk, tidak boleh pakai ke..

“Ini satu pemikiran yang negatif.Semua yang dicakap-cakap itu menampakkan negatif. Ibarat segelas air, kita nampak penuh, pembangkang nampak separuh gelas sahaja,” katanya.

MJ

No comments:

Post a Comment