Wednesday, 21 February 2018

Dikir TTB Jelajah Negeri Sampai Mesej Untuk Rakyat

Mastura Jamaldin by Mastura Jamaldin  on Wednesday, February 21, 2018 

Rozi bergambar bersama kumpulan Persembahan Dikir 'Transformasi Terengganu Baharu(TTB) Tranung Negeriku Tranung Molek Doh' di Kg Cheting 
*****
Persembahan Dikir 'Transformasi Terengganu Baharu(TTB) Tranung Negeriku Tranung Molek Doh' kini menjelajah 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menyampaikan mesej secara langsung kepada rakyat.

Program anjuran Unit Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Biro Penerangan UMNO Terengganu dan Pendikir TTB dilaksanakan sebagai penyatu masyarakat tanpa mengira fahaman politik melalui kesenian budaya.


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat berkata, ini merupakan kehebatan kerajaan Barisan Nasional(BN) kerana menggunakan ruang dan peluang yang ada bagi menyampaikan maklumat yang baik kepada rakyat di akar umbi.

"Kita buat dan kita akan gunakan ruang dan peluang yang ada untuk sampaikan hasrat kerajaan melalui sukan, agama, kebudayaan, seminar dan forum tentang apa yang telah kerajaan negeri buat dan  laksanakan.

"Tapi kita kena faham dalam masyarakat ni ada pelbagai kategori, ada yang suka bermain ... kita turun secara permainan dan ada masyarakat yang ke arah kebudayaan dan kesenian yang kita kira tidak melanggar peraturan, adat dan tatasusila agama...tidak salah kita gunakannya untuk sampaikan perkara yang baik kepada orang ramai, " katanya kepada pemberita di Dewan Terbuka Kampung Cheting, Telemong, semalam.

Persembahan dikir TTB siri tiga yang menampilkan Cikgu Sulizi, Meli Tumpok, Pok Ya Mangkok, Pok Nik Oh La La serta Raja Soh Suara Muda dan kumpulan dikir barat, Gabungan Suara Muda Ajil disaksikan kira-kira 350 orang penonton daripada kawasan sekitar.

Sementara itu, Rozi dalam ucapannya berkata,  persembahan kebudayaan sedemikian perlu dipelihara sebagai khazanah melayu dengan keindahan yang ada dalam bait-bait senikata setiap lagu.

"Kita perlu lihat ianya dari sudut positif  dan jangan tengok seni budaya sekadar unsur negatif atau maksiat sahaja,  tengok juga dari aspek positif. Hayati pengisian persembahan kerana banyak unsur-unsur nasihat dalam senikata yang disampaikan.

"Kalau Jepun ada ninja, Korea terkenal dengan k-pop, kita orang Melayu juga ada kebudayaan sendiri dan antaranya dikir barat yang perlu di pelihara dan diketengahkan," kata Rozi.

MEDIAJERTIH

No comments:

Post a Comment