Páginas

Wednesday 7 February 2018

PM Rasmi Penutup Ekspo Terengganu 2018

Aida Abd Rahman by Aida Abd Rahman  on Sunday, February 04, 2018

Menteri Besar (tengah) bersama Wan Nawawi (kiri) dan Tengku Putera (kanan) mempromosikan Ekspo Terengganu 2018 pada baju T yang akan diedarkan kepada petugas program tujuh hari di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, selepas pra pelancaran program itu, di Wisma darul Iman, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail
*****
Perdana Menteri, Dato’ Sri  Mohd Najib Tun Abdul Razak dijangka akan menyempurnakan majlis penutup Ekspo Terengganu 2018 selama seminggu di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak mulai 25 Februari ini, yang akan menumpukan tiga kluster utama bagi menonjolkan kemajuan yang dikecapi Terengganu kepada seluruh rakyat.


Majlis perasmian ekspo dijadual akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 25 Februari, manakala majlis penutup pula sebelah petang, 3 Mac.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ekspo yang menggunakan hashtag #terengganumolekdoh itu akan berkongsi serta mempersembahkan kemajuan yang dikecapi Terengganu kepada orang ramai menerusi Kluster Kerajaan Negeri, Kluster Daerah serta Kluster Portfolio.

“Ekspo ini merupakan platform bagi kerajaan negeri untuk menyampaikan maklumat yang tepat secara langsung, terutamanya berkaitan dengan pencapaian semasanya yang akan meningkatkan keyakinan di kalangan rakyat.

"Ianya akan menjelaskan kepada masyarakat terutamanya generasi muda, ke mana Terengganu akan dibawa dan apakah bentuk masa depan yang bakal dicapai serta cabaran-cabaran yang perlu dilaluinya," katanya pada Majlis Pra Pelancaran Ekspo Terengganu 2018, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Ekspo Terengganu 2018.

Ahmad Razif berkata, Kluster Kerajaan Negeri akan menceritakan pencapaian, perancangan dan inisiatif-inisiatif semasa kerajaan negeri, manakala Kluster Daerah mengetengahkan pencapaian dan perancangan pembangunan spesifik bagi setiap lapan daerah yang setiap satunya mempunyai keunikan dan potensi yang tersendiri.

"Manakala Kluster Portfolio pula dibahagikan kepada 10 portfolio yang dipertanggungjawabkan kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.

“Kluster ini akan memaparkan tawaran-tawaran, pelbagai insentif, skim-skim bantuan, peluang-peluang pekerjaan dan banyak lagi perkhidmatan daripada agensi-agensi yang menyertai ekspo
ini,” katanya.

Selain aspek pameran, tambahnya pihak penganjur menawarkan pelbagai aktiviti dan program yang menarik sepanjang seminggu bagi membolehkan pengunjung mendapatkan maklumat, menikmati perkhidmatan yang ditawarkan, membeli-belah,  berhibur, beramal dan bersantai.

“Antara pengisian penting dalam ekspo ini jelasnya, ialah Forum Kerjaya, Forum Perdana Hal Ehwal Islam, Karnival Jualan Industri Kecil dan Sederhana dan Majlis Perkahwinan Perdana yang melibatkan lebih 30 pasangan.

“Aktiviti-aktiviti menarik dan santai turut tidak dilupakan, antaranya pertandingan e-sports, dan persembahan Sound of Terengganu serta penampilan artis-artis popular tanah air,” jelasnya.

Beliau menambah, pihak penganjur juga menawarkan hadiah pengunjung bertuah utama di hari terakhir ekspo yang berupa sebuah rumah apartmen Ladang Tok pelam , satu lot tanah perumahan, satu lot tanah pertanian, sebuah kereta dan sebuah kenderaan pacuan empat roda kepada pengunjung-pengunjung bertuah.

“Selain itu, kita juga tawarkan hadiah-hadiah penganjur bertuah setiap hari yang berbentuk
sebuah motosikal, barangan-barangan elektrik dan elektronik kepada para pengunjung, justeru orang ramai tidak harus melepaskan peluang untuk hadir dan menikmati manfaat yang ditawarkan,” katanya.

MEDIAJERTIH

No comments:

Post a Comment