Páginas

Monday, 16 April 2018

PRU14 : Pemimpin UMNO Besut Janji Tidak Khianati Parti

Mohammad Ishak by Mohammad Ishak  on Sunday, April 15, 2018


Pemimpin UMNO Besut sepakat berjanji tidak akan mengkhianati parti jika mereka tidak dicalonkan semula dalam Pilihan Raya Umum (PRU14) ini.

Pemimpin berkenaan, Ahli Parlimen Besut, Dato' Seri Idris Jusoh yang juga Menteri Pendidikan Tinggi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut merangkap Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohamad; ADUN Jertih, Dato' Muhammad Pehimi Yusof yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu dan ADUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa dan ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.


Mereka sudah beberapa kali membuat pengakuan terbuka di hadapan ahli parti bahawa akan akur dengan sebarang keputusan dibuat pucuk pimpinan tertinggi parti terutama mengenai kedudukan diri masing-masing.

Hasrat itu bagaimanapun disambut dingin oleh ahli akar umbi kerana mahu khidmat mereka masih diperlukan untuk pembangunan Daerah Besut dan mengukuhkan kekuatan Barisan Nasional (BN) Terengganu.

Idris yang sebelum ini memberi laluan kepada Nawi untuk menjadi Ketua UMNO Bahagian itu menjadi idola kepada semua wakil rakyat di Parlimen Besut juga pernah berkata bahawa sudah sampai masanya orang muda perlu diberi peluang menjadi pemimpin.

Nawi ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan Pengerusi PDM Parlimen Besut pada Ahad lalu berkata, beliau tidak kisah sama ada namanya dicalonkan atau tidak pada PRU14 ini.

"Saya sudah tiga penggal diberi peluang menjadi wakil rakyat tidak akan kecewa jika tidak dicalonkan sebaliknya akan terus menyokong BN" katanya.

Pada majlis sama, Muhammad Pehimi turut melahirkan nada sama dengan Nawi dan berikrar akan terus membantu parti jika tidak dicalonkan semula.

Bagaimanapun, jentera BN Besut yang menjadi kubu kuat parti di utara Terengganu berharap semua wakil rakyat sedia ada dikekalkan bagi memberi kemenangan lebih besar kepada BN Terengganu.

Pengerusi PDM Seberang Jertih, Abdul Rani Mat Amin pula berkata, khidmat semua wakil rakyat BN di Besut masih diperlukan kerana mereka disukai pengundi selain mempnyai rekod cemerlang.

MEDIAJERTIH

No comments:

Post a Comment