Tuesday, 3 April 2018

Manifesto BN Terengganu Fokus Tiga Bidang

Mohammad Ishak by Mohammad Ishak  on Tuesday, April 03, 2018

Menteri Besar beramah mesra dengan tetamu  yang hadir sempena majlis temu mesra di Dewan Merdeka Kota Putera Square, semalam. Foto oleh Mohamad Ishak
*****
Barisan Nasional (BN) Terengganu akan menumpukan tiga bidang utama dalam manifesto peringkat negeri bagi meneruskan kesejahteraan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, tiga bidang berkenaan adalah tawaran mengurangkan kos beban hidup rakyat, perumahan dan pendidikan yang bakal diberi keutamaan sebagai janji Kerajaan BN kepada rakyat negeri ini.


Katanya, menerusi usaha mengurangkan kos beban hidup rakyat beberapa insentif baru berbentuk bantuan akan disediakan dalam manifesto berkenaan.

Beliau berkata, kemudahan tempat tinggal sebanyak 40,000 rumah mampu milik turut disediakan bagi memberi tempat tinggal yang lebih selesa kepada penduduk yang tidak mempunyai rumah kediaman.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 1,000 unit rumah mampu milik akan disediakan kepada penduduk Daerah Besut.

“Usaha juga disediakan untuk memberi perhatian kepada bidang pendidikan bagi mengekalkan pencapaian Terengganu sebagai hab pendidikan utama negara,” katanya selepas Majlis Temu Mesra Peringkat Daerah Besut di Dewan Merdeka Kota Putera Square Kampung Raja, semalam.

Pada majlis itu lebih 4,000 peserta mewakili  ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan guru-guru seluruh Daerah Besut.

Sehubungan itu, Menteri Besar berharap rakyat negeri ini memberi mandat semula kepada BN supaya semua program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar  selepas berjaya membentuk kerajaan.

Beliau berkata, BN Terengganu juga tidak menolak  menjalin kerjasama dengan PAS selepas pilihan raya bagi meneruskan  pembangunan yang dirancang kerajaan.

Pada majlis itu, Ahmad Razif turut menyampaikan bantuan RM5,000 kepada setiap JKKK dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta RM2,000 kepada PIBG.

MEDIAJERTIH

No comments:

Post a Comment