Páginas

Sunday 28 September 2014

PAS kecam kerajaan PP gantung tugas ahli MPPP

Sabtu, 27 September 2014
KUALA LUMPUR : Beberapa pemimpin PAS hari ini mengecam tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang kerana menggantung tugas seorang ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) daripada parti itu, Iszuree Ibrahim.

Ahli Jawatankuasa PAS pusat, Nasrudin Hassan percaya tindakan dikenakan kepada Iszuree berkait dengan teguran dan kritikannya terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang ketika beliau memberi ucapan perbahasan pada Muktamar PAS di Johor, baru-baru ini.
Beliau berkata, ucapan Iszuree itu jelas menunjukkan satu teguran dan kritikan membina supaya PAS pusat memberi perhatian berhubung isu kedudukan dan kepentingan umat Islam di Pulau Pinang yang semakin terhimpit dengan arus pembangunan.

"Iszuree 'dipancung' gara-gara kritikan membina itu. Seperti tersimpan satu dendam yang hanya menanti detik untuk dilunaskan. Akhirnya Iszuree terpaksa membayar 'harga yang tidak sedikit'.

"Kritikan membina dibalas racun tuba. Lebih tragis, tindakan ke atas Iszuree diambil tanpa sebarang surat tunjuk sebab apatah lagi dipanggil untuk memberi penjelasan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyifatkan tindakan DAP itu seperti meniru gaya dan pendekatan parti PAP di Singapura yang akan mengambil tindak balas segera terhadap pengkritik mereka.

"Apakah kerajaan DAP Pulau Pinang mahu menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan umum?. Saya yakin isu dibangkitkan Iszuree berkait isu penempatan, kampung dan tanah umat Islam Pulau Pinang ada asas dan faktanya yang sangat jelas," katanya.

Ketua Pemuda PAS negeri, Mohd Yusni Mat Piah pula menggesa supaya tindakan kepada Iszuree ditarik balik, sebelum timbul persepsi bahawa pemerintahan kerajaan pakatan Pulau Pinang menolak kebebasan bersuara.

"PAS Pulau Pinang bersama Iszuree perlu diberi hak untuk memberi penjelasan penuh. Keputusan perlu diputuskan secara kolektif dan bersama, andai PAS masih dianggap rakan dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Sementara itu, Setiausaha PAS Pulau Pinang, Fadhil Kemi berkata, tindakan oleh kerajaan negeri pimpinan DAP itu jelas membelakangkan konsep kebebasan suara yang diperjuangkan pakatan.

Malah Fadhil berkata, kenyataan Iszuree pada muktamar itu adalah benar dan fakta serta laporan yang dikeluarkan adalah berdasarkan memorandum yang sudah di persetujui PAS negeri.


Berita Harian

No comments:

Post a Comment