Páginas

Tuesday 16 February 2016

Peruntukan Segera RM13 Juta Atasi Hakisan Lima Pantai

By Suriati Ali -  15 Februari 2016
Junaidi bersama rombongan melawat melawat Projek Mencegah Hakisan Pantai, di Tok Jembal, Kuala Nerus, hari ini. Foto oleh Harish Fadzillah
*****
Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan segera sebanyak  RM13 juta bagi melaksanakan kerja-kerja menambak pantai di lima lokasi di negeri ini yang dikesan terhakis akibat kejadian ombak besar awal bulan ini.


Peruntukan yang disalurkan melalui  Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) itu melibatkan  Pantai Teluk Lipat, Dungun dan Pantai Rusila, Marang, masing-masing dengan peruntukan  RM3.5 juta dan Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus pula sebanyak  RM3 juta.

Agihan peruntukan bagi projek sama turut melibatkan Pantai Bukit Keluang, Besut dengan jumlah 1.5 juta, manakala Pantai Kemasik, Kemaman sebanyak RM2 juta.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kerja-kerja menambak laut sedang berjalan dan dijangka siap sebelum tiba musim tengkujuh akhir tahun ini..

Junaidi….. salur peruntukan segara
*****
“Kerajaan menyegerakan peruntukan sebaik dilaporkan fenomena ombak besar berlaku di negeri ini, tidak mahu aset Terengganu termasuk  Universiti Malaysia Terengganu terus diancam ombak besar.

“Kita juga tidak mahu orang ramai terutama penduduk yang tinggal berhampiran pantai risau berikutan tempat kediaman semakin hampir dengan kawasan hakisan,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Projek Mencegah Hakisan Pantai, di Tok Jembal, Kuala Nerus, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPS Terengganu, Ir C Poobalan dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Azmi Razik.

Wan Junaidi memberitahu reka bentuk projek menambak itu lebih kurang sama  dengan projek menambak pantai kekal yang diperuntukkan melalui  Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) sebanyak RM70 juta.

“Projek yang dilaksanakan itu akan kekal, boleh dijadikan kawasan pelancongan apabila kerja-kerja yang dirancang siap sepenuhnya kelak,” katanya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment