Ahmad Razif bersama penaja-penaja yang menyumbang kepada Tabung Pembangunan Sukan Negeri Terengganu. Foto oleh Harish Fadzillah.
*****
Sebanyak RM23.25 juta diperuntukkan kepada Tabung Pembangunan Sukan Negeri Terengganu (TPSNT) yang mula dilancarkan semalam.Penubuhan tabung tersebut adalah bagi menyelaras sumbangan dan penajaan pihak swasta serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di bawah satu entiti.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata peruntukan tersebut adalah untuk diagihkan kepada beberapa organisasi sukan utama seperti bola sepak, hoki, berbasikal dan sukan berkuda.
Beliau berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM12 juta kepada tabung tersebut.
“Selain peruntukan ini, kerajaan negeri turut menerima penajaan sebanyak RM11.25 juta dari pihak swasta dan GLC menjadikan jumlah keseluruhan RM23.25 juta.
“Antara penaja utama dari pihak swasta dan GLC adalah dari Terengganu Incorporated, Web Con Mining Sdn Bhd, Casa Hartamas Sdn Bhd dan lain-lain,” katanya.
Turut hadir, Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda, dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat.
Tambahnya, empat sukan utama tersebut dipilih adalah kerana ianya mempunyai potensi untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
Katanya, untuk permulaan, peruntukan awal akan diserahkan dahulu dan kemudiannya akan ditambah berdasarkan keperluan.
“Bagi bola sepak, peruntukan permulaan diberikan sebanyak RM5 juta. Manakala bagi sukan berbasikal (RM1 juta), hoki (RM1 juta) dan kuda lasak (RM2 juta).
“Penambahan akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan mereka,” katanya.
Teganukita/MediaJerteh
No comments:
Post a Comment