Páginas

Thursday, 1 December 2016

Terjemah Wala’ Dalam Perbuatan


KUALA LUMPUR, 1 Dis – Prinsip wala’ yang ditekankan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak perlu diterjemahkan dalam perbuatan setiap anggota parti.

Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata prinsip wala’ akan menguatkan ukhwah dalam kalangan anggota parti yang seterusnya membantu mencipta jentera yang lebih kukuh bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).


“Kata-kata (setia) sahaja tak boleh, ia mesti disusuli dengan perbuatan dan ini kita dapat lihat menerusi kematangan sahabat kita dari Semporna dan Pagoh yang sebelum ini dilanda konflik untuk memilih individu dan parti, namun keputusan matang telah dilakukan disebabkan jati diri yang ada.

“Sebab itu kita perlu terus bekerja dalam satu pasukan di mana Puteri, Wanita dan Pemuda harus digembleng untuk bergerak senada dan seirama bagi mengukir kemenangan pada PRU akan datang,” katanya mengulas ucapan dasar presiden selepas perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2016, di sini.

Terdahulu Najib dalam ucapan dasar presiden berkata UMNO mampu bertahan sehingga hari ini kerana amalan prinsip wala’ dan kesetiaan dalam tradisi UMNO.

Prinsip wala’ UMNO katanya membawa maksud nilai cinta kasih, kepatuhan, sumpah setia, taat dan bai’ah yang wajib diberikan kepada pemimpin yang sah, dan di dalam konteks UMNO iaitu presiden parti manakala bagi kerajaan ialah Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Ketua Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata kesetiaan itu merupakan tulang belakang kepada kerajaan dalam membantu meneruskan agenda memperkasakan rakyat.

“Saya berdoa nilai kesetiaan ini tidak akan terhakis dan berharap generasi muda akan datang berpegang teguhlah kepada nilai ini kerana kalau kita jadi ahli parti politik, kesetiaan inilah yang menentukan segala-galanya,” katanya.

Selain itu, Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO turut melahirkan rasa teruja dan bertekad bekerja lebih kuat di atas penghormatan tertinggi yang diberikan presiden parti itu terhadap peranan besar sayap-sayap berkenaan kepada parti.

“Wanita UMNO, kita politiking tidak banyak, kita punya fokus adalah khidmat kita kepada rakyat. Hari ini alhamdulillah saya rasa amat terharu, kita akhirnya mendapat ‘standing ovation’ dan pengiktirafan daripada presiden UMNO,” katanya.

Mas Ermieyati pula menyifatkan pengiktirafan yang diberikan presiden hari ini memberi semangat kepada sayap bongsu UMNO itu untuk terus menggerakkan kerja bagi menzahirkan kesetiaan.

Terdahulu Najib dalam ucapan dasar presiden menzahirkan penghargaan kepada seluruh anggota UMNO terutama pergerakan sayap-sayap parti yang turut menerima tepukan gemuruh dari seluruh 2,643 perwakilan yang hadir di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.

MediaUMNO/MJ

No comments:

Post a Comment