Páginas

Sunday, 12 February 2017

Pejabat Sekretariat Permata Zon Utara Dilancar

Ruslan Abdul Rahman | Sunday, February 12, 2017
  
Ahmad Razif menandatangani plak sebagai simbolik pelancaran Pejabat Sekretariat Permata Zon Utara, di Universiti Utara Malaysia di Sintok Kedah. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail
*****
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman semalam (11 Februari) melancarkan pembukaan Pejabat Sekretariat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) Zon Utara, bertempat di Taman Universiti, UUM Sintok, Kedah.


Inisiatif itu bagi meningkatkan kemudahan dan kebajikan mahasiswa anak Terengganu di sekitar yang sedang menimba ilmu di beberapa intitusi pengajian tinggi awam di utara tanah air, khususnya Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis.

Ketika berucap melancarkan sekretariat berkenaan, Ahmad Razif berkata, pejabat itu bolehlah dijadikan 'one stop centre' untuk menawarkan perkhidmatan tertentu kepada anak Terengganu yang berada di utara tanah air.

"Kita lakukan transformasi dalam semua perkara, termasuk pentadbiran. Kita bukan sekadar memberi perkhidmatan tetapi menawarkan perkhidmatan," katanya.


Majlis itu dihadiri lebih 1,000 pelajar anak Terengganu.
Hadir sama, Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dato' Muhammad Pehimi Yusof (bapa angkat persatuan mahasiswa Terengganu UUM), Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman, Pengarah Yayasan Terengganu, Mohamad Sulong, pegawai kerajaan berkaitan dan pegawai pentadbiran universiti terlibat.

Menteri Besar meminta supaya agensi agensi kerajaan menawarkan perkhidmatan tertentu secara berjadual bulanan di pejabat sekretariat itu seperti Yayasan Terengganu, Yayasan Pembangunan Keluarga, Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Yayasan Pembangunan Usahawan dan lain-lain seperti yang telah diwujudkan di Pejabat Sekretariat Anak Terengganu Lembah Kelang.
"Para pelajar perlu bersyukur kerana hari ini telah banyak kemudahan dan peningkatan taraf hidup berbanding masa lalu, semuanya itu hasil perjuangan dari para pemimpin negara dan negeri, " katanya.


Apa yang penting tambahnya, hadapilah apa jua cabaran dengan tabah dan yakin kerana ujian ujian yang sentiasa wujud dalam negara dan di peringkat antarabangsa adalah sebagai sebahagian dari perjuangan yang perlu ditangani bersama selaras.dengan ajaran agama dan keyakinan kita kepada pertolongan Allah.

Teganukita/MJ

No comments:

Post a Comment