Páginas

Monday 6 February 2017

SM Imtiaz Marang Mula Beroperasi

Amirullah Othman | Monday, February 06, 2017
 

Satu lagi sejarah buat pendidikan negeri Terengganu selaku Negeri Anjung Ilmu apabila Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) Marang yang menempatkan 101 pelajar memulakan sesi persekolahan hari ini (Ahad).


Pusat pembelajaran baru itu dibangunkan di Sekolah Kebangsaan Wakaf Tapai, Marang yang dinaiktaraf dengan kemudahan dan keperluan serba lengkap selaras dengan tarafnya sebagai sekolah elit sekali gus merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang mahu mewujudkan sekolah Imtiaz di setiap daerah seluruh Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri,  A.Latiff Awang, berkata SMIYT bakal melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk maya atau Virtual Learning Environment (VLE) dengan menawarkan kelas International General Certificate Of Secondary Education (IGCSE) kepada anak-anak soleh pintar sekolah itu.

"Ia sejajar dengan sistem pendidikan masa kini yang memerlukan perubahan selaras dengan keperluan semasa dan memenuhi tuntutan zaman dan peredaran semasa.

"VLE atau ringkasnya iClass merupakan kelas yang dilengkapi dengan platform pembelajaran maya serta akses kepada penyelesaian pembelajaran bersepadu yang dihubungkan melalui capaian internet berkelajuan tinggi.

"Bagi memastikan pelajar mendapat yang terbaik daripada iClass ini, SMIYT Marang akan dilengkapi dengan infrastruktur rangkaian dan prasarana teknologi maklumat gred universiti untuk menjamin proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan serta efektif,"katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan pendaftaran dan penubuhan sekolah itu.

Turut hadir,Pegawai Daerah Marang, Zainal Abidin Mohamed,  Pengarah YT, Mohamad Sulong,  Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Rozali Salleh,  Ketua Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Awi Salleh.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Marang, Adnan Salleh, Pengetua SMIYT Marang, Hayati Omar serta pemimpin-pemimpin setempat.

A. Latiff berkata, IGCSE pula merupakan kurikulum antarabangsa yang diiktiraf seluruh dunia melalui Cambridge International Examination  (CIE ) dan merupakan satu usaha memberi nilai tambah kepada sistem pendidikan yang sedia ada.

Katanya, pelajar -pelajar yang mengambil kelas IGCSE akan mengikuti silibus IGCSE bagi empat subjek yang berasaskan Cambridge Learning iaitu bahasa Inggeris,  Matematik,
Sains dan Sejarah.

 "Anak-anak pelajar Imtiaz seharusnya bersyukur kerana dalam sistem pembelajaran dan pengajaran Imtiaz melalui konsep ulul albab yang bercirikan quranik, ensiklopedik dan ijtihadik bagi memperkasakan sistem pendidikan holistik untuk melahirkan insan seimbang bercirikan ulul albab.

"Kita ingin lihat satu hari nanti di bumi Terengganu akan lahirnya ulama -ulama tersohor seperti Sayid Muhammad Zainal Abidin atau Tok Ku Tuan Besar, anaknya Sayid Abdul Rahman atau Tok Ku Paloh  dan Sayid Ahmad Muhammad al-Idrus atau Tok Ku Melaka, Sayid Mustafa atau Tok Ku Tuan Dalam,  Sheikh Abdul Malik bin Abdul Malik bin Abdullah atau Tok Pulau Manis dan ramai lagi,"katanya.

Teganukita/MJ

No comments:

Post a Comment