Páginas

Friday 3 February 2017

Terengganu Naik Peruntukan Baik Pulih Rumah 100 Peratus

Aida Abd Rahman  | Wednesday, February 01, 2017
 

Terengganu bersetuju menaikkan peruntukan membaik pulih rumah dan pembinaan kediaman baharu sehingga 100 peratus daripada RM1 juta kepada RM2 juta di seluruh daerah dalam masa terdekat.


Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, inisiatif baharu itu  bagi menyelesaikan masalah berkaitan yang dihadapi rakyat, selain membina lebih banyak kediaman sebagai memenuhi keperluan asas penduduk.

Katanya, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia bercadang membina lebih banyak rumah kediaman di negeri ini tetapi tidak boleh disegerakan berikutan tanah milik kerajaan negeri masa kini yang semakin terhad.


"Kerajaan negeri berusaha mengenal pasti tanah milik kerajaan bagi menyelesaikan masalah perumahan dan pada masa sama memutuskan untuk menaikkan peruntukan kepada setiap DUN," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Serah Tugas Pegawai Kanan Kerajaan dan Angkat Sumpah Yang Dipertua (YDP) Pihak Berkuasa Tempatan, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail.
Sementara itu, majlis serah tugas dan angkat sumpah jawatan baharu didahului dengan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Dato' A. Rahman Yahya dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri menggantikan Dato' A. Rahim Jusoh yang bersara wajib awal bulan lalu.

Dato' Mohd Akil Mat pula dilantik jawatan Pengarah Jabatan Tanah Dan Galian Terengganu menggantikan Dato' Mohd Kamil Othman yang menerima tugas baharu sebagai Pegawai Jawatan Kumpulan (penempatan sementara sebelum bersara wajib pada 16 Februari).

Sementara Pegawai Daerah Dungun, Dato' Mohd Yasim Awang menerima jawatan Pegawai Daerah Kuala Terenggganu, diikuti Pegawai Daerah Kemaman, Rosman Roslan bertugas sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Terengganu.

Manakala YDP Majlis Perbandaran Dungun, Ibrahim Mohamad menerima jawatan Pegawai Daerah Dungun dan  Pegawai Daerah Setiu, Shahidan Embok pula sebagai YDP Majlis Daerah Dungun.

Selain itu juga, bekas Pengarah Urusan Tabung Amanah Warisan Terengganu, Mohd Zahari Md Azahar pula menerima tugas sebagai Pegawai Daerah Kemaman dan Pengarah Unit Komunikasi Terengganu, Ab. Rasid Jusoh dilantik jawatan YDP Majlis Daerah Besut.

Teganukita/MJ

No comments:

Post a Comment