Páginas

Wednesday, 1 March 2017

Bina Persaudaraan Dalam Suasana Penuh Keampunan Allah SWT - MB

Mohd Syazni Zainudin | Wednesday, March 01, 2017


Barisan Jawatankuasa Induk dan Pelaksana Majlis Tilawah Al-Quran 1438H serta jemaah hakim. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyeru agar rakyat Terengganu tidak berpecah–belah, saling kasih– mengasihi, hormat–menghormati dan membina persaudaraan dalam suasana yang penuh keampunan, rahmat dan keredhaan Allah SWT.


Beliau juga turut mengingatkan agar dalam pergaulan seharian, hendaklah kita membiasakan diri dengan ucapan–ucapan yang baik, kerana ucapan yang baik akan menghasilkan kebajikan.


"Ucapan–ucapan yang baik dapat menyuburkan kasih sayang sesama manusia, mengeratkan persaudaraan dan mencegah tipu daya syaitan yang sentiasa berusaha merapuhkan tali perhubungan dan menimbulkan persengketaan.

"Saya telah memulakan langkah, atas semangat dan prinsip TTB (Transformasi Terengganu Baharu), berurusan dengan baik, ziarah menziarahi mereka yang berbeza pendapat dan berbeza aliran politik dengan saya. Saya berharap, ianya dapat menjadi teladan yang baik dan menyumbang kepada pengukuhan ukhuwwah Islamiah yang sememangnya menjadi asas penyatuan ummah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1438H/2017M di Arena Merdeka, Dungun, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Zubir Embong, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Wan Mohd Wan Ibrahim.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, empat dari 12 peserta memperdengarkan bacaan mereka pada malam pertama iaitu Megat Ismashamri Megat Ismara (Besut), Esah Deraman (Hulu Terengganu), Wan Ahmad Tarmizi Wan Deraman (Kuala Terengganu), dan Nor Asiah@Norasid Ali (Dungun).

Turut serta dalam tilawah itu ialah Johan Menunggu, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dan Jannah Abd Rahman, Faridah Omar (Besut), Abdul Hadi Che Abdul Halim (Dungun), Fatimah Mat Ali (Setiu), Mohd Hafaz Ali (Marang), Rogayah Mohamad (Kuala Terengganu), Mohd Rifin Sulong (Kuala Terengganu), Abdul Alim Zakaria (Kuala Nerus) dan Halimah Ibrahim (Setiu).

Dengan tema ‘Ukhuwwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah’, Ahmad Razif turut mengingatkan bahawa keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi selama ini adalah kerana perpaduan dan ikatan persaudaraan.

"Sekiranya runtuh rumah yang dibina, akibat tindakan yang mengikut emosi dan tidak mengutamakan kepentingan umum, semua pihak akan rugi," katanya.

Teganukita/MJ

No comments:

Post a Comment