Páginas

Saturday, 4 March 2017

Golongan Belia Perlu Ikon Capai Aspirasi TN50 – Idris

Saturday, 4 March 2017

BESUT, 4 Mac -Golongan belia memerlukan seorang ikon yang tepat dalam memeta hala tuju kehidupan dan pencapaian dihasratkan dalam usaha merealisasikan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata ikon berkenaan akan
dapat memacu mereka agar lebih fokus dalam pencapaian yang diinginkan, sekali gus membantu mencipta kejayaan selaras dengan hasrat TN50.


“Seperti hari ini, belia-belia di Besut, diberikan gambaran seorang anak
muda atau ikon bernama Firdaus Imtiaz yang mengecap pelbagai kejayaan di
peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Beliau digambarkan bukan sahaja seorang Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat multinasional, tetapi seorang hafiz Al-Quran, dermawan, penyayang dan mempunyai kelayakan akademik cemerlang di universiti terkemuka dunia, Harvard University di Amerika Syarikat.

“Gambaran seorang ikon seperti ini mudah melekat pada minda generasi muda
dan ia antara inisiatif membantu mereka untuk lebih fokus dan hala tuju yang
tepat dalam meraih kejayaan dalam apa jua bidang diceburi,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas sesi Dialog TN50 peringkat Besut bertajuk
‘Firasat Firdaus Imtiaz’ di sini hari ini.

TN50 yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Januari lepas, adalah untuk memeta hala tuju negara bagi tempoh 30 tahun selepas 2020, dan setakat ini, sesi jelajahnya telah diadakan di Sabah dan Terengganu.

Objektifnya adalah mewujudkan platform dan mengumpul idea serta pandangan
golongan belia dan ulama muda dalam sesi ‘townhall’ bagi merancang dan menggerakkan pembangunan TN50.

Seorang peserta sesi dialog, Mohd Fahamie Hussin, 27, berkata walaupun
karakter Firdaus Imtiaz hanya gambaran, namun kualiti dan pencapaiannya dalam akademik dan seorang huffaz tidak mustahil dicapai golongan belia masa kini.

“Saya percaya jika belia di negara ini lebih fokus dan konsisten dengan
setiap matlamat ingin dicapai, ditambah dengan pelan tindakan efektif, saya
pasti aspirasi TN50 untuk menjadikan masyarakat kita antara terbaik di dunia
akan tercapai,” katanya.

Idris yang juga anggota Parlimen Besut pada sesi dialog tersebut, turut
menyampaikan sumbangan wang tunai kepada pelajar cemerlang Sijil Tinggi
Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 peringkat kebangsaan, Siti Zubaidah Ismail.

Siti Zubaidah, 19, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong, Hulu Besut, seorang anak penoreh getah, memperoleh keputusan 4A atau 4.0 pada
peperiksaan itu.

MediaUMNO

No comments:

Post a Comment