Páginas

Wednesday 2 July 2014

318 petani terima insentif hasil padi RM1.94j

 MUHAMMAD Pehimi Yusof (tiga dari kanan) bersama wakil-wakil yang menerima bayaran insentif hasil padi di Besut, baru-baru ini.
*****
BESUT 30 Jun - Sebanyak 318 petani dalam Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA Ketara) menerima insentif hasil padi di bawah Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA), berjumlah RM1.94 juta di sini kelmarin.
Pembayaran dibuat menerusi empat syarikat peneraju iaitu operasi Petani Ketara Sdn. Bhd. (RM915,340), 10 Tan Teamwork (M) Sdn. Bhd. (RM705,060), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerai (RM219,660) dan PPK Kerandang (RM84,040)

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof. Yang turut hadir, Pengarah IADA Ketara, Mohamed Kaberi Ghani.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu Muhammad Pehimi berkata, setakat ini hanya 318 petani yang mengusahakan 964 hektar menyertai program.

Katanya, menjelang tahun 2020, IADA Ketara akan menggiatkan usaha untuk menarik penyertaan kira-kira 2,600 petani melibatkan kawasan 5,000 hektar keseluruhannya.

"Program ini memberi peluang kepada petani memperolehi keuntungan lebih banyak dengan pengurusan yang lebih baik walaupun petani mempunyai keluasan tanaman padi yang tidak sama antara satu sama lain," ujarnya.

Menurut beliau, sudah empat musim berturut-turut hasil tanaman padi peserta program itu mencecah 6.5 tan metrik sehektar yang membuktikan ia boleh dilaksanakan di semua sawah dalam kawasan IADA Ketara.

Dalam pada itu beliau menasihatkan agar empat peneraju program itu bersaing secara sihat dengan berusaha mempertingkatkan hasil tanaman padi bagi menarik petani menyertai program tersebut.

"Fokus utama adalah peningkatan hasil dan kualiti. Jika ada usaha inovasi yang membantu peningkatan, ini akan lebih meyakinkan lebih ramai pesawah menyertai usaha kerajaan bagi memajukan kehidupan mereka, "ujarnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment