utusanterengganu@utusan.com.my
Ahmad Razif
*****
KUALA TERENGGANU 10 Julai - Kerajaan negeri mengekalkan sembilan portfolio Exco berbanding 10 sebelum ini dengan memansuhkan portfolio Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.Dengan tiadanya pertambahan anggota, portfolio itu yang sebelum ini terus dipangku oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman diserapkan di bawah dua anggota Exco iaitu Ir. Rosli Othman dan Ghazali Taib.
Ahmad Razif berkata, dengan perubahan tersebut, portfolio Rosli iaitu Pengerusi Kerja Raya dan Pengangkutan kini dinamakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri.
"Tugas membabitkan alam sekitar, tenaga, teknologi hijau dan air akan diserapkan di bawah portfolio Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam.
"Sementara itu, tugas mengenai sains dan teknologi pula akan diserapkan bawah Ghazali dengan portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas. Hanya mereka berdua terlibat dalam perubahan kecil ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Yang turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Osman Muda dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Samiun Salleh.
Ahmad Razif turut mengesahkan segala urusan berkaitan hal ehwal agama pula masih menjadi tanggungjawab Ghazali di bawah Tugas-Tugas Khas.
Menteri Besar mengambil alih teraju kepemimpinan negeri mulai 12 Mei lalu, beliau memikul tanggungjawab sebagai pengerusi jawatankuasa yang dimansuhkan itu dan keputusan kerajaan kini menamatkan desas-desus mengenai pertambahan seorang lagi anggota Exco.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT 2) menghubungkan Ceneh-Jabor melibatkan laluan sejauh 26 kilometer (km) akan mula dibuka kepada orang ramai pada 21 Julai ini bagi kemudahan orang ramai pulang pada musim perayaan.
"Sebenarnya ada 80km (baki yang belum disiapkan), apabila 26km akan dibuka 21 Julai ini, tinggal 54km lagi untuk disiapkan sepenuhnya dan kerajaan negeri menyasarkan pembukaannya selewat-lewatnya sebelum akhir tahun ini.
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment