Keindahan Pulau Perhentian, Besut.
*****
Taman Laut Malaysia di pusat peranginan Pulau Perhentian dan Pulau Redang menjadi penyumbang terbesar dalam industri pelancongan negara apabila berjaya memperolehi kutipan hasil RM1.2 juta tahun lalu.Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia, Kamaruddin Ibrahim berkata, hasil itu diperolehi menerusi kehadiran 235,000 pelancong pulau peranginan terkenal itu.
Katanya, rekod yang dicatatkan oleh jabatan itu membuktikan dua pulau berkenaan menjadi pilihan utama pelancong dari dalam dan luar negera yang memilih Terengganu sebagai destinasi utama untuk percutian.
Beliau berkata, sepanjang tempoh 2013 jabatan berkenaan memperolehi kutipan bernilai RM2.5 juta daripada 500,000 pelancong yang mendaftar masuk menerusi 42 Taman Laut di seluruh Negara.
“Pada tahun ini, jabatan mensasarkan jumlah kutipan meningkat lima hingga 10 peratus sempena Tahun Melawat Malaysia 2014,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Program ‘Beach and Underwater Clean Up’ Pulau Perhentian 2014 di Besut semalam.
ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, mewakili Menteri Besar, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman merasmikan program berkenaan.
DSC_0106
Kamaruddin berkata hasil kutipan itu digunakan oleh pihak jabatan terbabit untuk membantu menampung perbelanjaan pengurusan kesemua taman laut di seluruh negara.
“Hasil kutipan yang kita peroleh ini tak cukup untuk pengurusan sebenarnya sebab kita membelanjakan lebih RM10 juta setahun tetapi sekurang-kurangnya ia dapat menampung sebahagian pengurusan taman laut seperti membaiki bot, keperluan minyak serta prasarana di taman laut,” katanya.
Kamaruddin berkata Jabatan Taman Laut Malaysia bekerjasama dengan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dalam memastikan keselamatan pelancong yang berkunjung ke taman laut.
“Kita sangat berterima kasih kepada JPAM dalam hal ini, sekarang sudah ada tiga menara tinjau JPAM iaitu di Pulau Payar, Langkawi, Pulau Redang, Terengganu serta Pulau Tioman, Pahang dan Insya-Allah menara kawalan JPAM akan dibina di Pulau Perhentian September ini,” katanya.
Seramai 120 peserta daripada Jabatan Taman Laut, JPAM, pengusaha resort dan selam skuba, badan bukan kerajaan (NGO) menyertai program selama tiga hari bermula 15 Ogos.
Program anjuran Jabatan Taman Laut Daerah Besut itu bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya menjaga terumbu karang.
Teganukite
No comments:
Post a Comment