KUALA TERENGGANU 5 Ogos - Rombakan barisan kepimpinan dalam Badan Perhubungan UMNO Terengganu diyakini mampu membantu memperkasakan jentera parti untuk menghadapi
cabaran getir dalam pilihan raya umum akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Marang, A. Latiff Awang percaya pelantikan beberapa muka baharu itu akan mendapat sokongan serta mandat sepenuhnya daripada kepimpinan parti di semua peringkat.
"Usaha memperkasakan parti adalah merangkumi kesemua peringkat termasuk pengurusan parti dan setiap gerak kerja parti dari Badan Perhubungan UMNO negeri sehingga peringkat di bahagian dan cawangan.
"Saya cukup yakin perubahan yang telah dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman selaku Pengerusi UMNO negeri telah mengambil kira pelbagai faktor bagi memperkasakan parti," katanya, di sini hari ini.
A. Latiff yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan seterusnya mengucapkan tahniah kepada mereka yang dilantik.
"Saya ucapkan tahniah kepada ADUN Jerteh, Muhammad Pehimi Yusof yang dilantik sebagai Setiausaha baharu UMNO negeri, Mohd. Nasir Yusof (Bendahari) menakala ADUN Air Puteh, Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar (Ketua Penerangan)," katanya.
Ketua UMNO Bahagian Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee dilantik sebagai Pengarah Strategi UMNO negeri manakala ADUN Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman (Timbalan Setiausaha UMNO negeri yang baharu).
A. Latiff percaya barisan jawatankuasa ini dapat memberikan nafas baharu dengan memikul amanah dan tanggungjawab masing-masing demi kepentingan UMNO dan Barisan Nasional Terengganu.
Menteri Besar selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang baharu mengumumkan rombakan itu Ahad lalu manakala Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari sebagai timbalan.
Sumber: utusan online
No comments:
Post a Comment